Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian, khususnya industri nanas yang dilihat mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.
Menerusi hantaran di Facebook, Mohamad berkata, beliau berkesempatan melawat Projek Tanaman Nanas MD2 Berkelompok Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota di Kampung Nerasau, Rembau pada petang tadi.
Menurutnya, lawatan itu memberi peluang untuk melihat sendiri kegigihan para usahawan tempatan dalam membangunkan industri nanas di kawasan berkenaan.
“Alhamdulillah, dalam tempoh lima tahun, keluasan tanaman nanas di Negeri Sembilan meningkat hampir 166%, kini mencecah 220.43 hektar melibatkan 278 usahawan berdaftar.
“Rembau pula antara kawasan pengeluar nanas terbesar di negeri ini selepas Kuala Pilah,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Sehubungan itu, Mohamad mengajak lebih ramai anak muda menjadikan bidang pertanian sebagai satu peluang kerjaya dan sumber pendapatan yang berpotensi.
Beliau turut menyarankan individu yang berminat mengusahakan tanaman nanas supaya mendapatkan khidmat nasihat serta bimbingan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
“Sekiranya ada yang berminat untuk menanam nanas, terus berhubung dengan LPNM. Insya-Allah, LPNM sedia memberikan khidmat nasihat dan bimbingan,” katanya.
Menurut Mohamad, penglibatan lebih ramai golongan muda diyakini mampu memperkukuh lagi industri nanas negara serta meningkatkan daya saing sektor pertanian pada masa hadapan.
Baca juga: Anwar Sangkal Dakwaan Tak Jaga Melayu, Kerajaan MADANI Laksana Pelbagai Program