Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sistem pendidikan negara perlu lebih inklusif dan berpandangan jauh dengan membuka ruang kepada murid menguasai bahasa ketiga seperti Bahasa Cina, Tamil, Arab mahupun Perancis.
Menurut Anwar, penguasaan Bahasa Inggeris juga perlu terus diperkasa agar generasi muda mampu meneroka dunia, mengakses khazanah ilmu serta bersaing dengan penuh keyakinan di pentas global.
Pada masa yang sama, Bahasa Melayu juga akan terus dijunjung dan dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa ilmu khususnya berperanan menjadi asas pembinaan negara bangsa.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Anwar memaklumkan bahawa perkara tersebut disampaikan beliau dalam pertemuan bersama warga Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini.
“Membangunkan sebuah negara yang hebat menuntut kita menguasai ilmu, menguasai teknologi dan menguasai bahasa.
“Keupayaan menguasai pelbagai bahasa bukan sekadar menambah kemahiran berkomunikasi. Malah menjadi nilai tambah yang membuka lebih banyak peluang dalam perdagangan, pelaburan, diplomasi dan pengurusan perniagaan antarabangsa.
“Inilah bekalan penting untuk melahirkan generasi Malaysia yang berdaya saing, berwibawa dan mampu memacu negara ke tahap yang lebih tinggi,” kata pemimpin itu menerusi perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
Baca juga: Jualan Agro MADANI bantu rakyat jimat RM30.3 juta, Mat Sabu mahu lebih ramai nikmati manfaat