Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini bergelar ‘Tan Sri’ apabila menerima gelaran itu sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.
Abdul Hadi antara 19 individu yang menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) dengan gelaran ‘Tan Sri’.
Ahli Parlimen Marang berusia 74 tahun itu juga Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri sejak pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Tan Sri Mahiaddin Md Yassin tahun lalu.
Selain Hadi, turut menerima PSM ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Datuk Dr Mohd Daud Bakar.
Penerima PSM lain ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Ismail Ibrahim; bekas Pengerusi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; pakar astronomi dan profesional astrofizik Datuk Prof Emeritus Dr Mazlan Othman; Pengarah Eksekutif Leong Hup International Berhad Datuk Lau Eng Guang; Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad Datuk Mohammed Azlan Hashim dan Pengerusi Eksekutif The Edge Media Datuk Tong Kooi Ong.
Turut dianugerahi PSM Pengerusi Ikhlas Capital Datuk Seri Mohamed Nazir Tun Razak; Pengerusi Eksekutif LB Aluminium Berhad Datuk Leow Chong Howa; Pengarah Eksekutif Perfect Group Holdings Limited Datuk Tan Jyh Yaong; bekas Pengerusi Tetap Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Seri Mohd Shariff Omar; bekas Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.