“Ada pelanggan pos air ketum, kena saman RM2k” – Staf dedah sebab pelanggan wajib tunjuk isi parcel

Oleh MALAYSIADATELINE

Tindakan sebuah cawangan syarikat kurier meminta pelanggan tidak menutup parcel sebelum diperiksa staf mencetuskan pelbagai reaksi netizen selepas gambar notis berkenaan tular di media sosial.

Menerusi gambar yang dikongsikan pengguna Threads dikenali sebagai Sarah Seri, notis yang dilekatkan di premis J&T Express itu memaklumkan pelanggan perlu membuka parcel sebelum urusan penghantaran dilakukan.

Ia bagi membolehkan pekerja membuat pemeriksaan terhadap kandungan bungkusan terlebih dahulu sebelum barang dipos kepada penerima.

“Jangan tutup parcel untuk staff periksa barang anda. Sila bagi kerjasama yang baik dengan peraturan kami,” menurut notis tersebut.

Perkongsian itu mengundang persoalan segelintir netizen yang beranggapan prosedur tersebut agak menyusahkan pelanggan dan menimbulkan isu privasi.

“Kena tunjuk isi parcel dulu baru boleh pos? Hmm sampai dah masa untuk tukar kurier,” tulis Sarah Seri di Threads.

Bagaimanapun, beberapa individu tampil menjelaskan bahawa prosedur itu sebenarnya bertujuan memastikan tiada barangan terlarang, berbahaya atau melanggar syarat penghantaran dihantar melalui syarikat kurier.

“Sebagai bekas pekerja J&T, tujuannya adalah untuk memastikan tiada barang terlarang, berbahaya atau yang melanggar syarat penghantaran dihantar melalui kurier,” jelas seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi netizen turut mendakwa pernah berlaku kes pelanggan menghantar air ketum menggunakan servis kurier sehingga menyebabkan cawangan berkenaan dikenakan denda.

“Pekerja cakap ada pelanggan pernah pos air ketum dan sebab itu J&T kena denda RM2,000,” katanya.

Dalam masa sama, ada juga netizen yang mempertahankan tindakan pemeriksaan tersebut demi faktor keselamatan semua pihak serta pematuhan terhadap peraturan penghantaran barang.

Baca juga: Penduduk didakwa pasang kain rentang protes isu jalan, persoal mana Adun Pengkalan Kubor & MP Tumpat