PM Anwar jawab isu kebanjiran pelarian Rohingya, jelas tindakan diambil kerajaan

Oleh MALAYSIADATELINE

Isu kebanjiran pelarian Rohingya di Malaysia semakin mengundang kebimbangan apabila sebahagian daripada mereka ini didapati melanggar undang-undang dan peraturan terutamanya berkaitan perniagaan serta pembinaan bangunan.

Kerisauan tersebut mendorong rakyat untuk menggesa kerajaan agar mengambil tindakan tegas dan segera mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan masalah ini menjadi ‘barah’ yang semakin sukar dibendung pada masa hadapan.

Sehubungan dengan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil untuk memberi penjelasan berhubung isu tersebut serta langkah-langkah yang diambil kerajaan setakat ini untuk membendung masalah tersebut.

Perbincangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan peranan kerajaan negeri

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu memaklumkan bahawa isu tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, hari ini.

Perbincangan juga akan dilakukan dengan kerajaan negeri memandangkan isu pembinaaan bangunan dan perbandaran adalah di bawah bidang kuasa mereka yang memiliki peranan untuk mengambil tindakan tegas.

Pelarian melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan tegas

Beliau memberikan jaminan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelarian Rohingnya yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan negara.

Oleh yang demikian, rakyat Myanmar khususnya pelarian Rohingya dinasihatkan untuk mematuhi undang-undang dan peraturan Malaysia terutamanya dalam isu pembinaan bangunan serta operasi perniagaan.

Isu penghantaran pulang penduduk Rohingya

Menurut Anwar, Kerajaan Myanmar ketika ini menghalang penghantaran pulang rakyat Rohingya ke negara itu sekali gus membuatkan jalan penyelesaian untuk masalah tersebut belum berhasil ditemukan.

Isu tersebut menjadi lebih rumit kerana turut membabitkan aspek kemanusiaan memandangkan etnik ini juga adalah mangsa penindasan sehingga memaksa mereka membuat keputusan menjadi pencari suaka ke Malaysia.

Kerajaan juga belum berhasil mencari jalan untuk mengirimkan mereka ke negara ketiga malah masalah itu adalah isu sejagat yang turut menjejaskan Bangladesh sehingga memiliki jutaan pelarian.

Rakyat dinasihatkan tidak mengambil tindakan sendiri

Pemimpin nombor satu negara itu juga berharap agar rakyat Malaysia terutama masyarakat Islam tidak mengambil tindakan sendiri dengan melanggar peraturan atau undang-undang demi menangani masalah tersebut.

Baca juga: Hari mengundi PRN Johor dan Negeri Sembilan dah ditetapkan, rakyat boleh buat persediaan ini