‘Ada pengarah minta bayaran sampai RM1 juta’ – Hans dedah jurang bayaran penggiat seni

Oleh MAISARAH AISYA

Industri seni bukanlah satu pilihan pekerjaan yang menjanjikan pendapatan tetap bulanan seperti kebanyakan sektor lain.

Kebanyakan penggiat seni, sama ada pelakon, penyanyi, penulis skrip atau pengarah filem, bergantung kepada tawaran projek yang ada, bukannya gaji bulanan.

Terbaru pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 dilihat sangat membantu memberi perlindungan kepada pekerja seni tempatan.

Perkara tersebut dipersetujui Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac.

Ini menjurus kepada penyelesaian beberapa isu seperti bayaran minimum diterima dan juga tempoh masa bekerja untuk pekerja industri.

“Bagaimanapun, keputusan untuk RUU Pekerja Gig 2025 ini buat penggiat industri seni belum lagi diputuskan dan masih dalam proses mendapatkan kelulusan daripada peringkat tertinggi.

“Namun, semua pihak dalam industri seperti persatuan perlu jalankan peranan masing-masing. Apapun, kita juga sudah ada maklumat daripada persatuan mengenai kadar bayaran dan penarafan (rating) pekerja seni.

“Dari situ, kita juga tahu siapa (pelakon) yang gred A, B atau C,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Jelas Hans, bayaran antara penggiat seni dalam industri terutama kru produksi dan pelakon veteran adalah ketara perbezaannya, belum termasuk bayaran untuk pengarah filem.

“Contohnya, ada pengarah filem menuntut bayaran mencecah RM1 juta bagi satu filem dihasilkannya. Manakala, ada juga pengarah (filem) yang hanya dapat bayaran sebanyak RM30,000 saja.

“Situasi sama turut didapati berlaku pada kos penerbitan filem oleh penerbit yang ada antaranya boleh mencecah RM10 juta kerana ada penaja atau serendah RM800,000,” katanya.

Pekerja seni seperti penyanyi funfair, pelakon pentas, jurusolek dan kru produksi juga berdepan cabaran kerana pendapatan tidak tetap sehingga menyukarkan urusan pinjaman aset.

Hans menjelaskan, RUU Pekerja Gig 2025 turut merangkumi perlindungan sosial seperti dokumentasi kerja, caruman KWSP dan akaun kebajikan lain untuk pekerja seni.

“Ketika ini iuga, ramai yang melihat hanya artis popular saja mudah mendapat pendapatan besar.

“Tetapi, kru produksi di belakang tabir dan pekerja kreatif lain sering terabai. Sebab itu penyelarasan bayaran minimum sangat penting.

“Semoga RUU Pekerja Gig 2025 ini dapat dibentangkan ke Parlimen dalam masa terdekat dan diharapkan ia dapat selesai pada tahun ini juga,” katanya.

Baca juga: 10 fakta menarik tentang Siti Nurhaliza yang ramai generasi muda tak tahu