Adik merungut abang bagi RM200 je dekat ibu ayah walaupun bergaji RM5k

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita berkongsi mengenai rungutan adiknya yang tidak berpuas hati kerana abang sulungnya hanya memberi duit belanja bulanan yang kecil kepada kedua ibu bapa mereka walaupun bergaji besar 

Kata wanita itu, abangnya yang bergaji RM5,000 memberi RM200 setiap bulan kepada orang tua mereka.

Tidak bersetuju dengan rungutan tersebut dia kemudian menegur sikap adiknya.

Katanya, orang luar mungkin nampak angka itu besar, namun hakikatnya sebahagian besar pendapatan habis pada potongan wajib dan tanggungan keluarga.

“Kau ingat RM5,000 tu besar? Itu belum potong PCB, SOCSO, EIS. Along dah kahwin ada anak. Duit nak beli barang dapur, anak sekolah, minyak pergi kerja, insurans, makan minum anak isteri, makan dia dekat tempat kerja, tiba-tiba baju kasut sekolah anak rosak, beli buku dan macam-macam lagi. Komitmen dia pada anak isteri lebih utama,” jelasnya di laman Threads.

Wanita itu turut menegur adiknya yang berusia 24 tahun kerana masih tidak bekerja dan bergantung kepada orang lain.

“Kau tu? Dah 24 asal tak kerja? Memilih kan? Lagi sekali aku dengar kau sibuk hal duit adik-beradik lain siap kau ea!” katanya dengan tegas.

Kisah itu mencetuskan reaksi netizen yang rata-rata bersetuju dengan tindakan si kakak menegur adik bongsu.

Seorang pengguna, meninggalkan komen:

“Bagus, eloklah dibetulkan sebelum melarat-larat mengurus gaji orang. Sendiri gaji minimum pun belum ada.”

Baca juga: Hukum wanita sertai misi Sumud Flotilla masih menjadi isu, ini penjelasan PU Amin