Ahmad Fadhli yakin pemimpin Pas mampu terajui PN, calon tak semestinya Hadi Awang?

Oleh MALAYSIADATELINE

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yakin bahawa pemimpin daripada parti itu mampu menerajui Perikatan Nasional (PN) susulan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perletakan jawatan.

Namun Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut memberikan bayangan bahawa calon pemimpin dipilih untuk menerajui PN kelak tidak semestinya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, Ahmad Fadhli memaklumkan bahawa pemimpin yang layak bergelar Pengerusi PN adalah individu diyakini mampu menggembleng kekuatan parti di bawah perikatan itu.

“Tan Sri Muhyiddin menyatakan hasrat beliau untuk meletakkan jawatan Pengerusi PN berkuatkuasa 1 Januari 2026. Saya yakin PAS akan menampilkan calon dari parti ini untuk menerajui PN sebagai Pengerusi yang baharu.

“Tidak semestinya Presiden parti tetapi seorang individu yang diyakini boleh mengembleng kekuatan parti yang ada di bawah PN,” kata Ahmad Fadhli dalam perkongsian itu susulan pengumuman perletakan jawatan Muhyiddin.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU itu secara rasmi mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari ini selepas lima tahun memimpin parti gabungan berkenaan.

Ahmad Fadhli turut menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri itu meletakkan jawatan sebagai tindakan bijak dan tepat dalam situasi parti yang memerlukan momentum baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Tahniah Tan Sri Muhyidin Yasin atas sikap terbuka beliau. Selamat bekerja Pengerusi Perikatan Nasional yang baru,” Ujarnya yang tidak menyangkal akan berlaku rombakan dalam organisasi PN selepas ini untuk memberi fokus kepada gerak kerja parti.

Sebelum ini, perletakan jawatan Muhyiddin disahkan oleh beberapa pemimpin BERSATU termasuk Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Baca juga: Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN