Akhirnya dapat jumpa kanak-kanak mirip Siti Sarah, terkejut dengar luahan hati Shuib

Oleh KIM SYAZIE

Penyampai radio Suria FM, Shuib membuat satu pendedahan mengejutkan setelah bertemu dengan kanak-kanak mirip Siti Sarah, Adik Miza.

Rupa-rupanya, setelah hampir dua tahun pemergian isteri akibat Covid19, Shuib belum pernah berpeluang untuk bermimpi mengenai Siti Sarah.

Menyifatkan pertemuan itu sebagai anugerah Tuhan, Shuib meluahkan rasa syukur apabila dapat menatap wajah yang mirip dengan arwah isterinya.

Sedikit sebanyak, kehadiran Adik Miza dapat mengubat kerinduan pelawak yang berusia 39 tahun itu terhadap pelantun suara lagu Semakin.

“Tak sampai sebulan lagi sudah masuk tahun kedua arwah Siti Sarah tiada, jadi Allah anugerahkan saya dapat lihat figura itu di depan mata (adik Miza).

“Saya belum pernah mimpi Sarah sepanjang dia meninggalkan saya, sekali pun tidak pernah tetapi anak-anak dan keluarga saya semua sudah mimpikan Sarah.

“Walaupun dia bukanlah Sarah (adik Miza) tapi itulah anugerah Allah berikan kepada saya untuk ubati kerinduan saya terhadap arwah,” katanya memetik Mstar.

Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan wajah Adik Miza yang mengundang perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial.

Memiliki wajah yang serupa dengan arwah anaknya, Raisuddin Hamzah rela menempuh perjalanan selama tujuh jam untuk menemui gadis itu.

Untuk rekod, arwah isteri Shuib, Siti Sarah Raisuddin menghembuskan nafas terakhirnya pada 9 Ogos, dua tahun lalu akibat jangkitan Covid19.

Ketika menerima rawatan, Sarah yang terpaksa ditidurkan itu sempat melalui proses pembedahan untuk melahirkan anak bongsunya, Ayash Affan.

Baca juga: Gempar Siti Kasim hampir dibom, polis sahkan bahan letupan ditemui di tayar kereta