Seorang pengguna media sosial berkongsi pengalaman zaman persekolahan yang penuh cabaran akibat kemiskinan dialami keluarganya.
Dalam catatan tersebut, individu berkenaan meluahkan rasa kecewa terhadap kemiskinan yang dihadapinya sejak kecil, terutamanya apabila arwah bapanya tidak mampu membayar yuran van sekolah semasa dia di Tahun 3.
Akibatnya, dia terpaksa berjalan kaki pulang dari sekolah setiap hari.
Ia berterusan sehingga ke alam sekolah menengah apabila bapanya juga tidak dapat membayar yuran asrama, menyebabkan dia tidak pulang ke rumah sewaktu cuti persekolahan.
“Kenapa aku benci jadi orang miskin? Masa aku sekolah rendah arwah ayah aku tak bayar duit yuran van sekolah. Aku terpaksa jalan kaki dari sekolah sampai rumah. Walaupun masa itu umur darjah 3.
“Masa aku sekolah menengah dekat asrama arwah ayah aku tak bayar duit yuran asrama. Aku tak balik rumah masa cuti. Aku tidur dekat asrama,” kongsinya.
Dia juga terpaksa bekerja di sebuah kedai makan tomyam ketika umurnya masih belasan tahun untuk menampung keperluan sendiri
“Aku kerja dekat kedai makan depan sekolah aku. Masa itu aku tingkatan 3,” kongsinya lagi
Perkongsian tersebut mendapat lebih 2,000 tanda suka dan ratusan komen yang rata-rata meluahkan rasa simpati serta kagum dengan ketabahan individu itu.
Baca juga: Dulu dibuang, sekarang jadi sumber rezeki, kulit telur bawa pulangan lebih RM900 sebulan!