“Aku Cinta Kamu”, gelagat Chong Wei ajar Lin Dan bahasa Melayu curi perhatian

Oleh KIM SYAZIE

Gelagat dua lagenda sukan badminton Asia, Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu menyita perhatian ramai baru-baru ini.

Menerusi video yang beredar di media sosial, Chong Wei terlihat mengajar pemain badminton China itu beberapa patah perkataan bahasa Melayu.

Antara perkataan yang diajar kepada Lin Dan ialah ‘apa khabar’, ‘terima kasih’ dan tidak ketinggalan, ‘aku cinta padamu’.

Mengagumkan, jaguh China yang berusia 40 tahun itu tidak ada masalah menyebut semua perkataan tersebut dengan lancar.

Berjaya meraih tontonan mencecah 2 juta orang, rakaman tersebut dimuat naik menerusi akaun TikTok milik Lee Chong Wei.

“Pernahkah anda dengar Lin Dan berbahasa Melayu? Saksikan video pendek ini. Hebat juga mamat ni,” tulis Chong Wei.

@leechongweiofficial

Pernahkah anda dengar Lin Dan berbahasa Melayu? Have you ever wondered how Lin Dan sounded speaking Malay? Saksikan short video ni. Hebat jgak mamat ni.. Again , thank you Lin Dan bro, for being accommodative yet again. #leechongwei #lindan

♬ original sound – Lee Chong Wei Official – Lee Chong Wei Official

Tular di media sosial, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata penonton memuji sosok lagenda badminton China itu.

Malah, ada individu yang berpendapat Lin Dan berjaya menyebut perkataan bahasa Melayu dengan lebih jelas daripada Chong Wei.

Di samping itu, ramai juga peminat mengakui kagum melihat keakraban kedua pemain itu meskipun dikenali sebagai ‘musuh tradisi’ di gelanggang.

“Dulu ingatkan Chong Wei dan Lin Dan akan bermusuhan sampai bila-bila. Rupanya di luar gelanggang baik sahaja,” komen seorang pengguna.

“Lin Dan lebih berbunyi macam orang Malaysia berbanding Datuk Chong Wei,” seloroh pengguna lain.

Baca juga: Sekelip mata hilang! Wanita selamba curi rantai emas budak di Jom Heboh depan keluarga