Alasan kad ATM disekat, modus operandi warga asing di R&R terbongkar

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang pengguna media sosial berkongsi pengalaman cemas apabila didakwa didatangi dua pasangan dipercayai warga Arab yang cuba meminta wang di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah, semalam.

Menerusi hantaran di Threads, pengguna bernama @aqilla_zeck memaklumkan kejadian pertama berlaku ketika dia dan suaminya berhenti mengisi minyak di sebuah stesen petrol.

Sebuah kereta Proton Saga dikatakan berhenti di sebelah kenderaan mereka sebelum seorang lelaki warga asing membuka tingkap dan mendakwa kad ATM miliknya disekat, lalu meminta dipinjamkan wang.

Namun, pasangan itu menolak permintaan berkenaan kerana mengesyaki ia adalah cubaan penipuan dan lelaki berkenaan kemudian beredar.

Lebih mencurigakan, ketika mereka singgah di sebuah lagi stesen minyak berhampiran, seorang lelaki lain juga dipercayai warga Arab turut menghampiri dan membuka tingkap keretanya untuk berbual.

Sebelum sempat lelaki itu bercakap lanjut, wanita itu terus menegaskan bahawa dia tidak akan memberi wang kerana sudah melihat kejadian serupa beberapa minit sebelum itu.

Menurutnya, individu tersebut kemudian memberi alasan kononnya hanya ingin bertanya jarak ke Kuala Lumpur.

Namun dia tetap menolak dan meminta lelaki berkenaan merujuk papan tanda atau menggunakan aplikasi navigasi.

Pengguna itu mendakwa kedua-dua insiden yang berlaku selang beberapa minit itu meyakinkannya bahawa ia adalah modus operandi sindiket yang cuba menipu orang ramai di kawasan R&R.

Seorang pengguna Tiktok, MyLovelyCats sempat mengambil gambar kereta dan mendedahkan kejadian lebih kurang sama.

“Isu panas di sepanjang R&R Utara-Selatan. Taktik baru scammer guna anak kecil sebagai umpan.

“Mereka berpura-pura minta tolong beli susu atau duit untuk anak, tetapi sebenarnya ini cara untuk menipu pengguna jalan raya.

“Dah ramai jadi mangsa sebab terpedaya dengan rasa simpati. Tolong sebarkan agar lebih ramai berwaspada dan tidak tertipu,” ujar pengguna TikTok.

Pengguna jalan raya disarankan untuk sentiasa berhati-hati apabila berjumpa dengan individu mencurigakan, terutamanya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

Berwaspada boleh membantu mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan yang semakin licik ini.

Baca juga: Nur Sajat mohon maaf, pohon doa kesembuhan lepas hampir 2 minggu jatuh sakit