Rolex pertama di usia 17 tahun, Aliff Syukri beli jam bertatah berlian buat Ammar Ahyan

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas memuat naik video ketika berkunjung di sebuah butik perhiasan jam tangan mewah di London.

Dalam kunjungan di butik berjenama Rolex itu, Aliff Syukri tidak pulang dengan tangan kosong sebaliknya sanggup mengeluarkan belanja besar untuk membelikan hadiah istimewa buat anak sulungnya iaitu Ammar Ahyan.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Instagram itu, Aliff Syukri memaklumkan bahawa hadiah dipilih buat Ammar adalah seutas jam tangan bertatahkan berlian tanpa menyatakan harga sebenar aksesori tersebut.

Bagaimanapun Aliff memaklumkan bahawa jam tangan tersebut adalah aksesori yang pertama daripada jenama mewah berkenaan dimiliki oleh anak lelakinya itu ketika usianya masih 17 tahun.

Meskipun harga jam tersebut mencecah puluhan hingga ratusan ribu ringgit, Aliff Syukri tidak melihat pembelian sebesar itu sebagai satu bentuk pembaziran kerana nilai aksesori berkenaan meningkat dari semasa ke semasa.

“Rolex pertama Ammar bertatahkan berlian dari Rolex. Ramai orang ingat apabila saya belikan jam ini, membazir. Hakikatnya jam ini akan naik nilainya. Saya sudah ronda London dan lebih tiga hingga empat buah kedai.

“Semua tiada stok. Nasib baik di kedai ini masih ada stok. Semoga Ammar ingat usaha abah untuk anak apabila sudah besar nanti,” katanya dalam hantaran itu bersama rakaman memaparkan kunjungan mereka di butik Rolex.

Dalam rakaman tersebut, Ammar dilihat tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada bapanya kerana telah menghadiahkan jam tangan selain turut membelikan kereta mewah Porsche sebagai kenderaannya ke kolej.

Aliff juga sempat menyampaikan pesan kepada anaknya untuk lebih rajin membantunya selepas ini dan beberapa kali mengucapkan rasa syukurnya kepada Allah di atas rezeki yang dikurniakan.

Baca juga: “Hadiah rumah, kereta, klinik cuma content” – Dr Fie kecewa barang dipindahkan tanpa notis