Alih periuk api dengan rokok di bibir, aksi selamba lelaki Ukraine ini jadi bualan warganet

Oleh ARIF ATAN

Seorang lelaki Ukraine dengan selamba dilihat mengalihkan periuk api anti kereta kebal menggunakan kedua-dua belah tangannya sambil menghisap rokok, lapor akhbar The Sun UK, kelmarin.

Lelaki yang tidak didedahkan namanya itu dirakam mempertaruhkan nyawanya ketika mengalihkan bahan letupan itu ketika pencerobohan tentera Rusia terus menggegar Ukraine.

Lelaki berkot hitam dan berseluar jean itu dilaporkan menemui periuk api darat tersebut di bandar Berdyansk, lalu dengan tenang mengalihkannya ke dalam hutan.

Dipetik Agensi, rakaman menunjukkan orang awam itu mengangkat bahan letupan tersebut menjauhi sebuah jambatan dengan melintasi jalan sambil menghisap rokok.

Menerusi satu rakaman lain, ratusan penduduk Ukraine yang berani bertindak memaksa kereta kebal Rusia untuk berhenti dengan menghalang jalan raya.

Video yang dirakam di bandar Koryukiva, hanya beberapa kilometer dari sempadan Ukraine dengan Rusia itu menunjukkan sekumpulan penduduk tempatan berdiri di hadapan konvoi kereta kebal.

Ia berlaku ketika Kiev dan Moscow bersedia mengadakan rundingan damai dengan pegawai-pegawai diplomat dijadualkan bertemu di sempadan Belarus.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba berkata, rundingan itu diadakan berikutan perbualan antara Presiden Volodymyr Zelenskyy dan pemimpin Belarus, Alexander Lukashenko selepas Belarus dikhuatiri sedang mempersiapkan tenteranya untuk menyertai pencerobohan Moscow.

Zelenskyy sebelum ini enggan berunding di Belarus tetapi menurut Kuleba, Lukashenko memberitahunya ‘tidak akan ada langkah sedemikian’ selagi rundingan yang dirancang itu diteruskan, lapor Agensi lagi.

Kelmarin, Zelenskyy memaklumkan Ukraine telah membuat aduan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague untuk menghentikan pencerobohan Russia.

Tegasnya, Russia mesti bertanggungjawab kerana memanipulasi pembunuhan beramai-ramai bagi mewajarkan pencerobohan.

Baca juga : Nyawa orang awam terancam, Rusia digesa hentikan pencerobohan ke atas Ukraine