Perkongsian anak kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Ammar Ahyan mengenai perbelanjaan melibatkan gaji pertama yang diterimanya telah mencuri perhatian ramai baru-baru ini.
Mana tidaknya, Ammar yang juga bergelar pempengaruh itu tidak membeli barangan mewah sebaliknya memilih untuk membelanjakan wang tersebut bagi menikmati hidangan Char Kuetieu.
Perkara itu didedahkan oleh Ammar dalam satu program audio siar atau ‘podcast’ bersempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-37 yang mana sedutan rakamannya turut dikongsikan di platform TikTok.
Menurut Ammar, duit itu juga digunakan untuk membeli cawam ketika berkunjung ke Shanghai, China manakala perbelanjaan melibatkan keperluan peribadi pula masih ditampung oleh bapanya.
“Saya beli Char Kuetiau. Saya juga pernah membeli cawan dekat Shanghai, China. Itu guna duit saya sendiri. Saya tak beli barang peribadi sebab ayah yang belikan,” katanya dalam rakaman tersebut.
Dalam pada itu, Aliff yang turut tampil bersama anaknya mengakui masih menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dalam menampung perbelanjaan dan keperluan peribadi remaja berusia 17 tahun terbabit.
Malah pemilik nama sebenar Aliff Syukri Kamarzaman itu tidak pernah mengambil wang dari pendapatan Ammar meskipun anaknya memperolehi bayaran yang cukup lumayan ketika mempromosikan produk.
“Ammar selalu menyimpan wang, jadi seluar dalam dan baju-baju dia saya yang belikan. Nampak sahaja macam ini, tetapi dia adalah seorang yang penjimat. Setiap bulan saya berikan dia elaun termasuk minyak kereta.
“Peralatan sekolah juga saya sediakan. Namun pada masa yang sama, dia juga suka berniaga. Kalau Ammar menjadi duta, saya tak ambil duit dia. Sekali dia buat ‘review’ mahal juga, baru-baru ini dapat RM10,000.” Jelasnya.
Baca juga: “Dulu saya penerima zakat, kini syarikat penyumbang zakat tertinggi” – Aliff Syukri