Anak cemerlang 7A, Engku Emran kongsi pengorbanan yang tak ternilai

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya, setiap ibu bapa akan berasa bangga dengan kejayaan anak mereka setelah melihat segala usaha dan pengorbanan yang telah dicurahkan.

Begitu juga dengan Engku Emran, bekas suami kepada penyanyi terkenal Erra Fazira, yang tidak dapat menahan perasaan gembira dan bangganya apabila anak tunggal mereka, Engku Aleesya, berjaya meraih keputusan cemerlang 7A dalam peperiksaan baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran di Instagran, Engku Emran meluahkan rasa syukur dan bangga terhadap pencapaian Aleesya,

Malah dia sempat berkongsi perjalanan penuh pengorbanan selama 11 tahun membesarkan anaknya sebagai seorang bapa meskipun sudah bercerai dengan bekas isterinya.

“Terima kasih kerana membuat hati ayah dipenuhi dengan rasa bangga dan gembira yang tidak terhingga.

“Selama 11 tahun tempoh persekolahan kamu, ayah telah mendedikasikan sebahagian besar daripada hidup ayah untuk memastikan kamu cemerlang dalam pelajaran,” luahannya dalam hantaran di Instagram.

Menurutnya lagi, dia tidak pernah ketinggalan menghadiri setiap acara sekolah yang disertai anaknya, termasuk sesi ibu bapa bersama guru dan pertandingan sukan.

Semuanya dilakukan atas dasar kasih sayang dan tanggungjawab sebagai seorang bapa.

“Hari ini kamu telah membuktikan bahawa segala pengorbanan ayah selama ini tidak sia-sia.

“Terima kasih Aleesya, terima kasih kerana menjadikan hari ini hari yang paling bahagia dalam hidup ayah.

“Malam-malam panjang yang kita habiskan bersama untuk ulang kaji pelajaran, jam-jam yang panjang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semata-mata untuk ke dan balik dari kelas tambahan kamu.

“Ya, semua itu juga atas nama kasih sayang dan tanggungjawab sebagai seorang ayah. Tahniah atas 7A kamu, anak ayah! Alhamdulillah. Teruskan bersikap rendah diri dan berpijak di bumi nyata,” tambahnya.

Aleesya merupakan satu-satunya anak hasil perkahwinan antara figura seni terkenal, Erra Fazira dan bekas suaminya.

Baca juga: Nombor telefon ugut isteri Rafizi Ramli didaftar atas nama warga asing – Ketua Polis Negara