Nombor telefon yang telah digunakan untuk menghantar mesej ugutan terhadap isteri kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli didapati didaftarkan atas nama warga asing.
Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, penemuan tersebut adalah berdasarkan analisa yang dijalankan oleh pihak berkuasa dalam menyiasat kes berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Khalid juga memberitahu bahawa polis masih giat mengesan dua penunggang motosikal yang disyaki terlibat dalam kes serangan terhadap anak Rafizi di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Pihaknya juga masih menunggu laporan kimia daripada hospital mengenai jenis cecair yang disuntik kepada anak lelaki Rafizi dalam serangan berlaku pada 13 Ogos lalu itu, lapor Berita Harian.
“Kita (polis) sudah mengenal pasti nombor telefon berkenaan yang didaftarkan atas nama warga asing dan kita sedang mengesan individu terbabit.
“Namun kita belum dapat mengenal pasti suspek (penunggang motosikal) kerana kedua-dua individu-individu memakai topi keledar,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Jelasnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian sudah diambil oleh polis untuk diteliti manakala pemantauan pihak hospital terhadap anak Rafizi mendapati kanak-kanak itu berada dalam keadaan baik,
Setakat ini, seramai 19 individu sudah diambil keterangan termasuklah keluarga Rafizi, pemandu dan pekerja serta saksi lain bagi membantu siasatan kes serangan suntikan cecair asing berkenaan.
Terdahulu, anak lelaki Rafizi diserang dan disuntik cecair dalam kejadian pada 13 Ogos lalu kira-kira jam 2 petang oleh individu tidak dikenali di tempat menurun dan mengambil penumpang di sebuah pusat beli-belah.
Kanak-kanak berusia 12 tahun itu dikatakan diseret ketika mahu memasuki kenderaan sebelum disuntik dengan jarum suntikan di mana kandungan cecair di dalamnya belum dikenal pasti.
Anak Rafizi tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal namun isteri kepada Ahli Parlimen Pandan itu menerima menerima mesej berbaur ugutan iaitu ‘diam, jika teruskan, AIDS,’ pada jam 1.12 pagi, 14 Ogos lalu.
Baca juga: Gantung jalur gemilang terbalik, klinik swasta diarah tutup 30 hari