Perkongsian seorang anak yang meluahkan kekecewaan atas percaturan bapanya dalam menguruskan kewangan telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.
Mana tidaknya, bapanya yang sebelum ini bekerja sebagai penjawat awam itu seharusnya menikmati wang pencen sahaja di hari tua namun duit persaraan tersebut malah tidak berbaki lagi kerana perlu membayar hutang.
Berdasarkan perkongsian dimuat naik di aplikasi Threads, wanita itu memaklumkan bahawa bapanya memperoleh pendapatan RM8,000 sewaktu bekerja namun membuat pinjaman untuk membiayai gaya hidup mewahnya.
Kemewahan tersebut bagaimanapun dinikmati seorang diri dengan mengabaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak namun keputusan yang diambil ketika masih muda itu malah membebankan sekeluarga di hari tua.
“Pinjaman tinggi-tinggi sampai langit tetapi dia seorang sahaja yang sedap. Sekarang apabila sudah pencen, hidup menyusahkan diri sendiri dan anak-anak. Sebab duit pencen bulan-bulan habis bayar hutang. Kereta juga dijual.
“Sekarang pinjam kereta aku. Kalau mak tak meninggal dunia, dia hidup merempat agaknya sebab rumah juga tiada. Kadang-kadang aku rasa kasihan, tetapi marah itu lagi banyak. Sebab duit pencen dia, jumlahnya besar.
“Sepatutnya sudah boleh hidup tenang dan rehat. Tetapi sebab masa muda tamak, sudahlah tak beri nafkah dekat anak isteri. Sekarang menyusahkan, asyik pinjam kereta. Kalau boleh, nak pindah jauh dari keluarga,” kesalnya.
Lebih mengeruhkan keadaan, bapa wanita itu dikatakan masih belum insaf dengan cara hidupnya yang bagaikan ‘biar papa asal bergaya’ sebaliknya sempat terfikir untuk membuat pinjaman baharu.
Sang bapa juga tergamak meminjam wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM2,000 daripada anaknya yang lain sedangkan mereka sendiri juga bersusah-payah menjalani hidup berdikari.
“Wajarlah jika saya mengamuk dan kecewa. Beritahu saya bagaimana lagi untuk menghargai dia? Inilah cerita benar di kasut saya. Sekarang saya tidak kurang ajar dan masih hormat dia, rasanya sudah cukup baik.” Ujarnya.
Difahamkan, bapanya juga sudah menjual rumah di atas namanya sendiri dan mereka anak beranak kini tinggal di kediaman peninggalan arwah ibunya yang dibeli dengan susah payah ekoran tidak menerima nafkah dari suami.
Baca juga: Nak jual produk pun tak senang, ‘influencer’ terkejut komen dihujani hinaan agama!