Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pembinaan negara bangsa memerlukan usaha berterusan dalam melahirkan insan yang berjati diri, berintegriti serta berpegang kepada nilai-nilai murni demi mengangkat martabat Malaysia.
Beliau berkata, penerapan nilai kenegaraan perlu diperkukuhkan supaya semangat cintakan negara terus subur dalam kalangan rakyat.
“Pembinaan negara bangsa menuntut usaha melahirkan insan yang berjati diri, berintegriti dan berpegang kepada nilai-nilai murni demi mengangkat martabat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Anwar berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan yang turut membincangkan pelbagai usaha memperkukuh agenda pembinaan negara bangsa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan turut mendengar taklimat mengenai kemajuan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan serta menerima sambutan amat baik daripada peserta dan ibu bapa.
“Program ini wajar terus diperkasa sebagai wadah membina jati diri, disiplin serta ketahanan rakyat,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata peranan Felo Kenegaraan turut diketengahkan dalam mesyuarat berkenaan apabila menghimpunkan tokoh dan negarawan daripada pelbagai latar belakang untuk menyumbang idea serta pandangan bagi memperkukuh agenda pembinaan negara bangsa.
Baca juga: Johor memiliki prasyarat jadi negeri maju, pilih pentabdiran bijaksana dan berintegriti – PM Anwar