Johor mempunyai segala prasyarat untuk terus mara sebagai salah sebuah negeri yang maju di Malaysia sekali gus menjadi pemacu dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara.
Perkara tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
Walau bagaimanapun, negeri itu memerlukan kestabilan politik, pentadbiran yang bijaksana dan berintegriti serta mengutamakan kepentingan rakyat demi mencapai kejayaan tersebut.
Faktor ini bergantung kepada ‘kuasa’ rakyat dengan menentukan pemimpin yang memenuhi kriteria dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menjelang hari pengundian pada 11 Julai ini.
Sehubungan dengan itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menyeru para pengundi untuk memilih calon parti gabungannya agar agenda pembangunan dan ekonomi di negeri tersebut dapat diteruskan.
“Yang diperlukan ialah kestabilan politik, pentadbiran yang bijaksana, berintegriti dan kesungguhan untuk terus bekerja demi kepentingan rakyat, bukan melayani percaturan politik yang tidak berkesudahan.
“Dengan mandat yang jelas kepada HARAPAN, kita mampu meneruskan agenda pembangunan, memperkukuh ekonomi dan memastikan kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh rakyat,” katanya dalam hantaran itu.
Sekadar info, PH mempertaruhkan 56 calon di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkumi dengan 20 calon PKR, 19 calon Amanah dan 17 calon DAP sekali gus menyaksikan pertarungan sengit untuk PRN Johor kali ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebelum ini menetapkan 11 Julai 2026 sebagai tarikh PRN Johor Ke-16 manakala hari mengundi awal pula dijadulkan berlangsung pada 7 Julai depan
Baca juga: Bukan sekadar harga murah! Mat Sabu bongkar komitmen kerajaan yang ramai tak sedar