Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan insentif baharu khusus buat pelatih industri di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Merupakan khabar baik, kumpulan pelajar yang menjalani latihan praktikal di syarikat GLC bakal menerima elaun minimum sebanyak RM800 setiap bulan.
Insentif elaun ‘perantisan’ ini bakal mengurangkan beban pelajar yang tidak mempunyai sumber pendapatan dan berasal dari keluarga kurang berkemampuan.
Anwar mengumumkan berita baik itu ketika berucap dalam Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menyeru agar institusi swasta mengambil langkah yang sama terhadap pelajar pelatih di syarikat mereka.
“Jadi untuk permulaan, intern (pelatih industri) memang tiada bayaran, itu betul dan ini untuk pendedahan, tetapi ada yang mereka datang daripada keluarga miskin.
“Malah, dalam beberapa dialog saya di universiti, mereka merayu sudah habis belajar, tiada lagi pinjaman dan bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Jadi mereka terpaksa bergantung kepada ibu bapa. Justeru, untuk kerajaan dan syarikat GLC, elaun perantisan RM800 sebulan untuk semua pelatih industri,” katanya memetik Berita Harian.
Terdahulu, tular di media sosial satu ciapan dari seorang penuntut universiti awam yang menuntut agar elaun pelajar praktikal dibayar dengan lebih adil.
Mengundang perbincangan hangat, mahasiswa tersebut menyuarakan kebimbangan mengenai kos sara hidup sepanjang menjalani latihan industri.
Berharap pembayaran elaun bakal diselaraskan, pelatih industri perlu menanggung sendiri bayaran sewa rumah, makanan dan juga kos pengangkutan.
Tegas memperjuangkan haknya, gadis itu turut melancarkan kempen #InternBukanBuruhPercuma di media sosial Twitter.
Baca juga: Bahana makan cendawan petik tepi rumah, sekeluarga lemah longlai angkara kulat beracun