Anwar ucap tahniah kepada BN, seru semua pihak bersama bina Johor lebih makmur

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas mandat yang diberikan rakyat Johor.

Beliau turut menegaskan semua calon Pakatan Harapan (HARAPAN), sama ada menang atau tewas, perlu terus berkhidmat dan membawa suara rakyat.

Menurut Anwar, berakhirnya pilihan raya dan pesta demokrasi menandakan sudah tiba masanya untuk semua pihak melangkah ke hadapan dengan memberi keutamaan kepada khidmat serta amanah kepada rakyat.

“Tahniah kepada Barisan Nasional atas mandat yang diberikan rakyat Johor. Semoga amanah ini dipikul dengan sebaik-baiknya demi kepentingan negeri dan rakyat.

“Pilihan raya dan pesta demokrasi telah pun melabuhkan tirainya.

“Kini adalah masa untuk kita melangkah ke depan, mengutamakan khidmat dan amanah kepada rakyat dan bersama-sama membina sebuah Johor yang lebih makmur dan maju,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi dan rakyat Johor yang telah menunaikan tanggungjawab dalam proses demokrasi, selain menghargai jentera parti yang bekerja keras sepanjang tempoh pilihan raya.

Beliau pada masa sama menegaskan perjuangan HARAPAN untuk membawa suara rakyat tidak terhenti selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

“Tekad kami jelas, semua calon HARAPAN, tidak kira yang menang mahupun tewas, diminta untuk meneruskan khidmat membawa suara rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan perhatian terhadap pembangunan dan kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.

“Kerajaan Persekutuan juga kekal komited memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Johor terus diperkasa dan ditambah baik, insya-Allah,” katanya.

Baca juga: Malaysia-Thailand buka lembaran baru, akan kerjasama laksana inisiatif ini demi rakyat