Apa hukum lafaz cerai dalam ‘live’? Pendakwah ulas isu talak 2 diucap suami Siti Jamumall

Oleh WAN SITI AMINAH

Kecoh di media sosial baru-baru ini apabila suami kepada pempengaruh, Siti Jamumall iaitu Khairul Aiman Abdul Kudus melafazkan talak terhadap wanita terbabit dalam satu sesi siaran langsung di platform TikTok.

Siaran langsung tersebut bagaimanapun sempat dirakam dan dimuat naik semula di pelbagai platform media sosial sehingga menimbulkan perbincangan hangat berhubung hukum talak dilafazkan oleh Aiman dalam video tersebut.

Isu ini turut menarik perhatian pendakwah bebas dikenali sebagai Ustaz Izmir Fareez untuk mengulas tindakan Aiman dalam siaran langsung itu dengan menjelaskan bahawa talak tersebut adalah lafaz sorih atau jelas.

Penjelasan tentang hukum melafazkan talak dalam siaran langsung di media sosial itu dikongsikan oleh Ustaz Izmir menerusi satu hantaran video berdurasi satu minit 43 saat yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

“Perkara itu perlu dilihat dari lafaz talak yang digunakan. Adakah dia guna lafaz sorih atau lafaz kinayah? Sorih ini maknanya jelas, kalau digunakan perkataan jelas seperti talak, cerai. Maka jatuhlah talak tersebut kepada isteri.

“Tetapi kalau guna lafaz kinayah, contohnya kiasan seperti, ‘Kau keluar dari rumah ini, kau balik rumah mak, aku tak nak tengok muka engkau lagi’. Yang ini kena tengok pada niat suami.

“Namun persoalannya sekarang ini, dia menggunakan lafaz yang jelas, talak dua,” jelasnya yang memaklumkan lafaz kinayah akan terjatuh sekiranya suami memang berniat untuk menjatuhkan talak kepada isterinya.

Walau bagaimanapun, lafaz talak digunakan di dalam sesi siaran langsung tersebut menjadi bermasalah berikutan pasangan pempengaruh berkenaan pernah bercerai sebelum kembali rujuk sebagai suami isteri.

Pempengaruh yang dikenali sebagai Aiman Tak Kesah itu melafazkan ‘talak dua’ sehingga dikhuatiri sudah cukup tiga had ditambah dengan lafaz sebelum ini lalu timbul persoalan jika mereka boleh rujuk semula atau sebaliknya.

“Sebab sebelum ini mereka pernah pun bercerai ataupun bertalak dengan talak satu, kemudian mereka rujuk. Kali ini mereka talak lagi sekali dengan lafaz talak dua. Adakah talak dua itu campur satu jawapannya tiga?.

“Sebab kadang ada sahaja komen yang katanya, ‘ustaz kita bukan kira macam matematik’. Eh kalau bukan kira macam matematik nak pakai apa. Geografi?. Satu (talak sebelum ini) tambah talak yang kedua (talak baru dilafazkan). Tambah lagi satu.

“Jawapannya baru dua (talak). Tetapi kalau dia gunakan ‘talak dua’, jadi satu tambah talak dua (talak baru dilafazkan). Jawapannya tiga. Maknanya dia telah menggunakan ketiga-tiga talak tadi. Itulah jawapan kena ikut matematik juga.” Jelasnya.

Baca juga: Sudah setahun tinggalkan tabiat buruk, rupanya ini sebab Akim Ahmad nekad berhenti merokok