Malaysia bawa teknologi pertanian tempatan ke Uzbekistan, nilai perdagangan cecah RM338 juta!

Oleh MALAYSIADATELINE

Di sebalik usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan mengetuai delegasi Malaysia ke Tashkent.

Ini adalah bagi lawatan kerja rasmi yang dilihat mampu membuka peluang baharu dalam sektor pertanian, teknologi makanan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan Mohamad Sabu ke Tashkent bagi lawatan kerja rasmi atas jemputan Menteri Pertanian Uzbekistan, TYT Ibrokhim Abdurakhmonov.

Menurut kenyataan media dikeluarkan kementerian itu, lawatan berkenaan mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama strategik sektor pertanian dan agromakanan.

“Lawatan ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pertanian dan agromakanan.

“Khususnya dalam bidang penyelidikan, inovasi, teknologi pertanian dan pelaburan,” menurut kenyataan tersebut.

Antara fokus utama yang dibincangkan ialah pembangunan akuakultur, teknologi pengairan mampan, adaptasi perubahan iklim, penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian serta penggunaan teknologi pintar bagi meningkatkan produktiviti sektor agromakanan.

Dalam sektor akuakultur dan perikanan, Malaysia turut berkongsi kepakaran berkaitan teknologi biofloc yang didakwa berjaya meningkatkan produktiviti akuakultur di kawasan terhad.

“Malaysia yang mempunyai kekuatan dalam bidang akuakultur, pengeluaran makanan laut serta sistem kawalan kualiti, termasuk industri udang, bersedia untuk berkongsi kepakaran dan amalan terbaik dengan Uzbekistan,” jelas kenyataan itu lagi.

Pada masa sama, pihak Uzbekistan turut menyatakan minat untuk mendapatkan kepakaran, teknologi dan pelaburan daripada Malaysia bagi memperkukuh sektor perikanan negara tersebut.

Kedua-dua negara juga bersetuju bahawa transformasi digital perlu menjadi antara pemacu utama pembangunan pertanian masa hadapan.

“Kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pertanian digital, pertanian pintar dan pengurusan air secara mampan dikenal pasti sebagai antara bidang baharu yang berpotensi untuk diterokai,” menurut kementerian itu.

Selain hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G), kedua-dua pihak turut menggalakkan kerjasama business to business (B2B) antara syarikat dan pemain industri pertanian Malaysia serta Uzbekistan.

Dalam perkembangan sama, MARDI dan AKIS Uzbekistan juga sedang dalam perbincangan untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pertanian.

Sebagai sebahagian program lawatan, Mohamad turut merasmikan pelancaran operasi syarikat teknologi pertanian Malaysia, Meraque Group di Uzbekistan.

Menurut kenyataan itu, pelancaran berkenaan membuktikan keupayaan teknologi pertanian tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Hubungan perdagangan produk pertanian dan agromakanan antara Malaysia dan Uzbekistan juga dilihat terus menunjukkan perkembangan positif dengan nilai perdagangan mencecah RM338.48 juta bagi tempoh Januari hingga Disember 2025.

Di akhir lawatan, Uzbekistan turut dijemput menyertai MAHA 2026 yang dijadual berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September 2026 di MAEPS Serdang.

Baca juga: