Tiada lagi gelagat mencuit hati, pemergian ‘atok online’ kesayangan netizen ditangisi

Oleh MALAYSIADATELINE

Akaun media sosial TikTok milik Famy Ismail dibanjiri dengan ucapan takziah selepas pengumuman khabar pemergian Allahyarham bapanya iaitu Ismail Ibrahim yang mesra disapa ramai sebagai ‘atok online’.

Menerusi perkongsian tersebut, Famy memaklumkan bahawa Allahyarham bapanya menghembuskan nafas terakhirnya dalam keadaan tenang seperti sedang tidur pada Selasa sekitar jam 11.46 malam.

Famy dalam hantaran tersebut turut memberitahu bahawa pemergian bapanya diterima keluarga dengan reda selain memohon agar segala makan dan minum arwah dihalalkan.

“Atok ‘Online’ meninggal dunia. Ayah pergi seperti tidur. Allahu, aku reda dengan pemergian ayah. Saya mohon halalkan makan dan minum ayah. Tiada lagi gelak dan tawa ayah,” katanya dalam perkongsian itu.

Perkongsian dimuat naik oleh Famy sebelum ini sering mencuri perhatian ramai dengan paparan rutin harian menjaga arwah bapanya yang merupakan penghidap strok serta gelagat mencuit warga emas berkenaan.

Mana tidaknya walaupun berada dalam keadaan uzur, warga emas itu cukup aktif memberikan maklum balas kepada usikan anaknya dengan leteran dan pukulan sekali gus menghiburkan para penonton.

Ramai juga pengguna merasa kagum dengan sikap sabar Famy melayan arwah bapanya walaupun sering ‘dimarahi’ dan tetap sehabis baik menjaga warga emas yang sudah tidak mampu menguruskan dirinya itu.

Pemergian Allahyarham sudah tentunya ditangisi oleh ramai pengguna TikTok yang mana rata-ratanya telah menganggapnya seperti datuk mereka sendiri kerana tidak dapat melihat gelagatnya lagi selepas ini.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati ramai pengguna TikTok mengirimkan doa untuk arwah bersama ucapan penghargaan buat Famy dan keluarga kerana telah menjaga ‘atok online’ mereka.

“Salam takziah. Terima kasih sebab menjadi anak yang baik. Terima kasih sebab jaga atok online kami. Semoga syurga buat atok. Semoga Allah balas segala kebaikan kamu sebab menjadi anak yang baik,” kata seorang pengguna.

“Selalu masuk siaran langsung. Mesti terhibur tengok gelagat atok ini. Tetapi sekarang sudah tiada lagi. Al-Fatihah, semoga berada di kalangan orang-orang yang beriman serta dipermudahkan segala urusan di dunia dan akhirat.” Kongsi pengguna lain.

@rasyiqah.rzll

21.04.26 | 11:46PM Atok dah takde dah, atok dah tak sakit dah korang 😭😭😭 @famy.ismail #atokonline

♬ original sound – Ikmal Alif – Ikmal Alif

Baca juga: Dapat RM5K dari TikTok, lelaki ini ‘kejar’ abang mekanik nak bagi RM3K – ending dia ramai tak jangka