Nama Ketua Pesuruhjaya (SPRM), Tan Sri Azam Baki menjadi sohor di Twitter hari ini dengan lebih 5,300 ciapan setakat jam 8 malam tadi.
Rata-rata warganet melontarkan pelbagai tanda tanya susulan sidang media oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang hari ini.
Turut pada sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini adalah Azam.
Antaranya, pengguna Twitter, Ahmadi Latif yang mempersoal mengapa adik Azam Baki menggunakan akaun abangnya itu untuk membeli sejumlah saham.
“Mengapakah Azam Baki mengambil masa terlalu lama untuk menyangkal dakwaan ini?” soalnya lagi.
Soalan sama juga ditanyakan Meng Hui Goh selain menyarankan adik kepada Azam disiasat.
“Dari mana datangnya wang? Mengapa menggunakan akaun Azam Baki yang bukan miliknya?
“Mengapa kemudiannya dipindahkan? Adakah sebarang pengubahan wang haram yang terlibat? Bukankah SPRM patut profesional?” kata Hui Goh lagi.

Terdahulu, Abu Zahar berkata, Azam telah menjelaskan kedudukan sebenar kepadanya dan ahli-ahli LPPR yang lain dalam mesyuarat bersama pada 24 November lalu.
Menurutnya, dalam pertemuan itu, Azam telah menjelaskan bahawa akaun saham beliau ketika itu digunakan oleh Nasir Baki untuk membeli saham-saham berkaitan pada tahun 2015.
Sementara itu, Azam dalam sidang media sama menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular.
Azam menganggap ia satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka cipta untuk menjatuhkan reputasinya dan SPRM.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini. Saya buat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan reputasi saya,” katanya.
Dia juga tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akaun media sosial Edisi Siasat yang sejak beberapa bulan lalu mendakwa berlaku salah laku membabitkannya.
Walau bagaimanapun, warganet terus bersuara antaranya menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terhadap Azam ditubuhkan.
“Kalau tidak salah, buktikan. Tubuhkan RCI untuk siasat,” saran Askani Rahman.
Begitu juga pendapat Zizie Adriana bahkan menuntut Azam Baki meletak jawatan.
“Sepatutnya letak jawatan bila terpalit kes begini dan bersedia disiasat dan bukannya sekadar menafikan,” kata Zizie.
Sementara itu, Choong Khim Fen menulis, “Kenapa mulanya guna akaun dia tak guna akaun adiknya, ya? Kenapa, ya?” manakala Abdul Hadi Almanzo berkata, “Teringat kes Porshe dari sebuah negeri tapi guna nama anak. Hal macam ini biasa. Takkanlah nak guna nama sendiri, kan?”