Walaupun hampir menjangkau usia 50 tahun, pelakon, Azhan Rani mengaku masih belum terfikir untuk menamatkan zaman bujang pada masa terdekat.
Tidak mahu merunsingkan dirinya dengan memikirkan soal jodoh, Azhan kini menumpukan seluruh perhatian untuk menjaga ibunya yang sedang uzur.
Oleh kerana pemuda itu belum berkeluarga berbanding adik-beradiknya yang lain, dia dengan rela hati menjalankan tugas untuk berbakti kepada ibunya.
Langsung tidak merasa terbeban, Azhan berpendapat bahawa keputusannya untuk meluangkan waktu bersama ibu itu sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai anak.
Anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu bagaimanapun menyerahkan kepada takdir yang ditetapkan Ilahi untuk urusan hidupnya, lapor Berita Harian.
“Sebenarnya, saya tidak pernah fikir soal itu (jodoh) kerana ada komitmen sebagai pelakon dan emak juga uzur.
“Disebabkan saya tidak ada komitmen keluarga sendiri, saya ada lebih banyak masa untuk jaga emak berbanding adik-beradik lain yang sudah berkeluarga.
“Itu adalah tanggungjawab saya sebagai anak,” kata pelakon yang cukup terkenal dengan watak antagonis, Ustaz Hamadi itu
Memiliki rupa pasas yang menarik, pelakon berusia 48 tahun itu akui dirinya sering menerima lamaran daripada individu yang tidak dikenali di media sosial.
Cuba untuk menolak pinangan tersebut dengan cara baik, Azhan hanya akan mempertimbangkan lamaran yang benar-benar serius sahaja.
“Ada yang tiba-tiba mesej dalam media sosial ajak kahwin. Saya agak terperanjat, tetapi, saya jawab cara baik. Kalau ada yang betul-betul serius, mungkin saya boleh fikirkan.
“Saya tidak kenal orang yang mesej itu. Jadi, saya tidak tahu sama ada dia serius atau tidak. Saya jawab sahaja,” jelas pemilik nama sebenar Azhan Abdul Rani itu.
Tidak pernah menutup hati untuk mendirikan rumah tangga, Azhan berharap bakal isterinya nanti mampu menerima semua kekurangannya.
“Berkenaan ciri-ciri, apa yang penting dia boleh terima saya seadanya. Saya juga tidaklah terlalu sempurna untuk terlalu memilih,” ujarnya lagi.