Perkongsian vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat yang meluahkan kekesalan atas layanan dingin didakwa diberikan pekerja sebuah bank di Bandar Sri Permaisuri, Cheras telah mencuri perhatian ramai baru-baru ini.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Instagram, penyanyi terbabit memaklumkan tujuannya hadir ke bank adalah kerana aplikasi perbankan atas talian milik isterinya telah disekat (block) ekoran sudah lama tidak diakses.
Memandangkan isterinya mempunyai urusan dan perlu menggunakan perbankan atas talian, pasangan terbabit segera ke bank untuk mengaktifkan semula kemudahan itu dengan ditemani rakannya yang rabun.
Ketika kejadian, isteri Azmi dipimpin rakannya yang rabun dan mengambil sedikit masa untuk ke kaunter apabila gilirannya sampai sebelum pekerja bank malah bertindak memanggil nombor giliran lain beberapa saat selepas itu.
Sebaik tiba di kaunter, kakitangan terbabit dikatakan telah meninggikan suara terhadap isteri Azmi berikutan datang lambat sedangkan nombor gilirannya sudah dipanggil sebanyak dua kali sebelum meneruskan urusan.
“Saya dengar dari jauh. Rasa eh, kasarnya. Boleh ‘sound’ macam itu. Tak mengapalah, mungkin dia tengah ‘stress’. Dia minta duduk. Tanya duduk di mana. Katanya, ‘duduk sahajalah’. Macam mana awak layan pelanggan buta ya. Suruh duduk macam itu sahaja.
“Kenalah beritahu di mana kerusinya. Kawan saya yang tolong tunjukkan, dia pun rabun. Pekerja itu tanya ingat tak, nama pengguna (username) dan kata laluan. Isteri jawab ingat. Dia tanya catat dekat mana, tak percaya kita boleh ingat. Saya tak tahu apa dalam fikiran dia.
“Katanya, ‘Kalau ingat, cuba taip’. Cara dia cakap macam nak menganjing. Satu yang awak kena belajar. Awak yang jaga kaunter ini, kita tak boleh nampak awak punya riak muka. Tetapi cara nada apabila berkomunikasi dengan orang macam kami tolong professional,” kesalnya.
Sehubungan dengan itu, Azmi tampil memberi teguran kepada pekerja dalam bidang khidmat pelanggan untuk menjaga nada terutamanya apabila berurusan dengan golongan OKU penglihatan sepertinya.
Azmi juga menyifatkan bahawa nada berbunyi ‘rumahan’ atau ‘kekampungan’ yang kurang sopan sememangnya tidak sesuai untuk digunakan terhadap pelanggan kerana boleh menimbulkan persepsi negatif.
“Kalau nada kalian baik, maka baiklah persepsi kami pada kalian. Begitu juga sebaliknya. Sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan, semestinya kemahiran menggunakan nada sudah kalian kuasai. Elakkan gunakan nada rumahan atau kampungan sewaktu melayan pelanggan.
“Apabila nadanya tak betul, tiada perkataan lain dari kami untuk kalian selain Kurang Ajar. Saya tak suka nak marah-marah di media sosial. Tapi hari ini tak boleh tahan sebab sudah beberapa kali dapat layanan yang kurang baik dari Pegawai Khidmat Pelanggan.
“Apa yang mahu ditegaskan adalah, kami ini hanya Buta bukan Bodoh. Tolong layan kami sebagai orang yang tak bodoh,” tegas penyanyi itu lagi dalam ruangan kapsyen hantaran video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya itu.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna turut merasa geram dengan layanan pekerja terbabit dan berharap pihak pengurusan bank berkenaan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Ramai juga pengguna mencadangkan agar pihak bank menambahbaik servis terutamanya layanan terhadap pelanggan dan memastikan pekerja menerima latihan cukup berkaitan adab berkomunikasi khususnya kepada golongan OKU.
Baca juga: Ditipu RM300,000, individu dakwa pelakon wanita dan suami sudah ditahan