Banyak kes pengguna jalan raya terlanggar lembu berkeliaran, Ustaz Azhar jawab pemilik lembu wajib ganti rugi

Oleh KIM SYAZIE

Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus berkata, tuan lembu perlu membayar ganti rugi kepada individu yang terlanggar haiwan peliharaan itu jika kemalangan berlaku di jalan raya atau di laluan yang dikhaskan kepada kenderaan.

Menurutnya, jika tuan lembu tidak membayar ganti rugi yang sepatutnya maka jumlah ganti rugi itu akan menjadi hutang walaupun pemilik itu telah meninggal dunia.

“Sekarang ni, jalan raya atau jalan yang ada dikhaskan untuk lembu atau untuk kenderaan? Jika jalan itu dikhaskan untuk kenderaan maka jika terlanggar lembu tuan lembu itu perlu bayar ganti rugi.

“Berbeza pula jika laluan itu adalah dikhaskan untuk lembu maka, jika terlanggar kita pula kena bayar kepada tuan lembu itu,” jelasnya dalam satu klip video ceramahnya seperti dilapor Kosmo!.

Tambah Azhar lagi, sekiranya tuan lembu itu tidak membayar ganti rugi, ia akan dianggap ‘zima’ lekat hutang sampai mati.

“Contohnya tuan lembu itu tiada duit, ganti rugi sepatutnya RM500. Bila tuan lembu tu meninggal dunia tidak boleh agih harta pusaka.

“Melainkan ambil dulu RM500 bayar kepada tuan kenderaan yang melanggar lembu itu dahulu barulah sah faraidnya,” katanya lagi.

Baca juga: Penyokong PN didakwa sebar tangkap layar palsu kononnya TokTi kutuk program Himpunan Madani?