Pernahkah anda tertanya-tanya, mengapakah kotak hitam sentiasa menjadi barang pertama yang dicari setiap kali insiden pesawat terhempas berlaku?
Berikut kami kongsikan maklumat penting mengenai kotak hitam dan juga fungsi serta kepentingan peranti tersebut di dalam industri penerbangan.
Walaupun dinamakan kotak hitam, peranti tersebut sebenarnya berwarna jingga (oren) bagi memudahkan operasi pencarian sekiranya pesawat terhempas.
Kotak hitam ini merujuk kepada peranti rakaman elektronik yang digunakan di dalam bidang pengangkutan khususnya pesawat udara.
Umumnya, terdapat dua jenis kotak hitam yang dipasangkan pada pesawat udara iaitu Perakam Data Penerbangan (FDR) dan Perakam Suara Kokpit (CVR).
Memetik laporan Astro Awani, kotak FDR merupakan peranti yang lebih besar di mana ia mengandungi maklumat mengenai arah, kelajuan dan tinggi pesawat.
Manakala CVR pula adalah peranti yang merakam perbualan kokpit serta bunyi dan juga pengumuman lain di dalam kawasan kabin juruterbang.

Kedua peranti tersebut penting untuk mengetahui tekanan udara dan keadaan cuaca selama penerbangan sebelum pesawat terlibat dengan kemalangan.
Peranti ini juga berfungsi untuk merakam komunikasi di antara juruterbang dan pengawal lalu lintas udara atau air traffic controller (ATC).
Difahamkan, kotak hitam ini mampu merakam data selama 25 jam maklumat penerbangan, dua jam audio kokpit dan juga dua jam mesej digital.
Kotak hitam ini kebiasaannya dipasang pada bahagian yang paling rendah risiko kerosakan jika berlaku kemalangan iaitu di ekor pesawat.
Terdahulu, negara semalam dikejutkan dengan nahas pesawat ringan yang terhempas sebelum meletup di Lebuhraya Guthrie, dekat Elmina, Shah Alam.
Mencetuskan kebakaran besar, pihak polis mengesahkan bahawa 10 individu didapati maut di dalam insiden yang mengerikan itu.
Kesemua mangsa yang terlibat dipercayai berusia antara 40-an hingga 50-an yang mana lapan daripadanya adalah penumpang dan krew pesawat.
Dua lagi mangsa yang terlibat adalah pemandu sebuah kereta dan penunggang motosikal yang kebetulan lalu di lokasi kejadian.
Baca juga: Dilarang masuk balai kerana pakaian, wanita labuhkan skirt guna sarung kusyen