Sistem MyKasih tergendala, tindakan pelanggan tinggal troli penuh barang dikecam

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular beberapa rakaman di platform media sosial memaparkan lambakan troli yang berisi barangan ditinggalkan begitu sahaja berhampiran dengan kaunter di beberapa buah pasar raya.

Masalah berpunca dari sistem MyKasih yang tergendala menyebabkan transaksi wang Sumbangan Asas Rahmah (Sara) bernilai RM100 yang dikreditkan ke dalam MyKad rakyat tidak dapat diproses di kaunter pembayaran.

Orang ramai yang mulanya berpusu-pusu mahu menebus bantuan tersebut akhirnya mengambil keputusan untuk membatalkan pembelian dan meninggalkan barangan di dalam troli begitu sahaja di lorong-lorong pasar raya.

Tindakan itu telah menimbulkan perbincangan hangat di media sosial termasuklah di platfrom Threads yang mana orang ramai memiliki pendapat mereka sendiri mengenai isu lambakan troli penuh dengan barangan tersebut.

Segelintir pengguna berpendapat bahawa situasi seperti itu tidak sewajarnya berlaku kerana selain menyusahkan pekerja, pihak pasar raya juga mungkin mengalami kerugian jika berlakunya kerosakan pada barang.

Namun beberapa individu juga berkongsikan pandangan bahawa pihak pasar raya juga bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada pelanggan dengan lebih awal mengenai kegagalan sistem sebelum barangan diambil.

“Tak sopan dan beradablah tinggalkan barang macam ini. Walaupun tengah marah atau kecewa sistem itu down, tetapi kasihan pekerja. Mereka perlu letak dan susun balik. Tak termasuk barangan yang mungkin sudah rosak. Tak tahulah, rasa tak elok perangai macam ini,” kesal seorang pengguna.

“Semalam saya dan suami ada tolong susun dekat sebuah pasar raya ini. Menyampah. Sudahlah tengah bergaduh dengan suami, troli pula bersepah sampai susah nak jalan. Sudahnya berbaik semula dari bergaduh sebab tolong susun barang,” kata seorang pengguna.

“Susah sangat ke nak letak poster, tulis besar-besar ‘Maaf, sistem MyKasih down hari ini’. Kemudian letakkan dekat pintu masuk pasar raya. Supaya setiap pelanggan yang masuk itu nampak ada masalah seperti itu.” Kongsi pengguna lain pula.

Beberapa individu kemudian menegur sikap masyarakat yang terlalu terburu-buru dalam menebus bantuan one-off tersebut sedangkan manfaat diberikan kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas itu boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025.

Baca juga: MySARA sah sehingga Disember 2025, MOF kongsi tip belanja bijak supaya tak cepat habis