Satu rakaman memaparkan letupan melibatkan kenderaan utiliti sukan (SUV) keluaran PROTON iaitu X90 telah tular di media sosial Baru-baru ini.
Video berdurasi 3 minit 11 saat itu sempat merakam bahagian dalaman kenderaan PROTON X90 tersebut yang berasap selepas diselamatkan daripada terbakar lebih teruk.
Menerusi video tersebut, perakam mendakwa bahawa kebakaran kenderaan yang baru sahaja dibeli itu berpunca daripada letupan bateri hibrid model X90.
Tidak ingin spekulasi terus tersebar, pihak Proton Holdings Bhd (PROTON) tampil mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan keadaan yang sebenar.
Menurut kenyataan itu, pihaknya menyangkal sebarang dakwaan bahawa Proton X90 terbakar disebabkan oleh letupan bateri hibrid ringan (48v) model berkenaan.
Sedang menjalankan siasatan terperinci, PROTON turut memaklumkan kereta X90 di dalam video tersebut telah berada di dalam simpanan syarikat pengeluar kenderaan itu.
“Kami telah mengambil maklum tentang kejadian itu dan kenderaan berkenaan kini berada di bawah simpanan kami.
“Pasukan kami sedang menjalankan siasatan yang teliti dan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menentukan punca kejadian.
“Kami juga ingin menjelaskan bahawa tiada letupan yang disebabkan oleh sistem Mild Hybrid (48V) bateri,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi miliknya.
Memohon kerjasama orang ramai untuk tidak membuat spekulasi, PROTON bagaimanapun memahami kebimbangan yang tercetus daripada kejadian itu.
Akan meneruskan siasatan, PROTON turut meyakinan pengguna bahawa kenderaan keluaran syarikatnya dihasilkan berpandukan tahap piawaian tertinggi.
“Di PROTON, kualiti dan keselamatan produk adalah keutamaan kami.
“Oleh itu, kami ingin memberi keyakinan kepada pengguna semua model Proton bahawa kenderaan mereka dihasilkan untuk memenuhi piawaian tertinggi.
“Setiap unit akan menjalani pemeriksaan kualiti dan keselamatan yang ketat sebelum dihantar kepada pelanggan kami yang dihargai,” jelas PROTON.
Terdahulu, video yang memaparkan kesan kebakaran kereta Proton X90 itu telah tersebar luas di media sosial selepas dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok.
Baca juga: Dilahirkan dengan dua alat kelamin, ini lembu khunsa pertama di Malaysia