Tak lama lagi umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri, dan pastinya setiap keluarga sudah mula merancang juadah istimewa untuk dihidangkan.
Dari dapur hingga ke meja makan, pelbagai hidangan tradisi disiapkan bagi memeriahkan suasana Syawal, menjadikan rumah penuh dengan aroma menyelerakan.
Lebih menarik, walaupun terdapat pelbagai versi moden dan olahan baharu, hidangan wajib hari raya tetap kekal menjadi pilihan utama.
Tak kira bagaimana cara penyediaannya, sentuhan tradisi itu masih utuh dan terus menjadi simbol kemeriahan serta kenangan setiap kali Aidilfitri menjelma.
1. Lemang
Walaupun cara nak buat lemang ini rumit namun ia tetap menjadi kegilaan ramai.
Proses untuk memasaknya memerlukan buluh untuk mengisi beras pulut dan santan serta dilapik dengan daun pisang sebelum di bakar.
Kalau zaman dulu mesti nampak nenek bakar lemang di luar rumah, malam sebelum raya, tapi zaman sekarang nak cepat buat dalam cawan sahaja.
2. Rendang
Kalau sudah ada lemang mesti ada kuah untuk dicicah, pastinya masakan jenis rendang menjadi pilihan,
Tidak kira ayam, daging atau kambing, makan kuah sahaja sudah mencukup, boleh tersandar lepas makan.
3. Ketupat
Ha! Ketupat ini memang makanan kegemaran ramai bila bulan Syawal. Ketupat ada dua jenis, ketupat nasi dan ketupat palas.
Kalau di bahagian Pantai Timur pula, ada ketupat tawar dan ketupat manis, ketupat pulut hitam pun ada barulah meriah.
4. Nasi minyak
Kalau dah Raya mestilah nak masak nasi gaya berlainan, tapi banyak rumah hidang nasi minyak, aroma dia sahaja sudah boleh buat kecur air liur, belum makan lagi.
Nasi putih pun tak ada masalah, asalkan lauk sedap ‘confirm’ habis.
5. Ayam masak merah
Ini lauk yang wajib dibuat kalau makan nasi minyak, ayam ini kalau masak apa pun cepat habis sebab tak kira peringkat umur mesti nak makan ayam.
Tambahan pula, ayam masak merah agak senang dibuat. Kalau nak lagi senang goreng dengan kunyit pun tetap laku keras.
6. Kuah kacang
Selain rendang, kuah kacang juga antara pelengkap utama. Biasanya dimakan dengan ketupat atau nasi impit, rasa lemak manis kacang tu memang ‘naikkan’ selera.
7. Lontong
Menu wajib terutama bagi keluarga Jawa. Lontong dengan kuah lodeh, sambal dan lauk sampingan memang cukup lengkap sebagai hidangan pagi raya.
8. Sambal goreng
Selalu jadi pasangan kepada lontong. Campuran tempe, suhun, kacang panjang dan sambal pedas manis buat hidangan lebih ‘hidup’.
9. Serunding
Serunding daging atau ayam pun antara ‘legend’. Tabur sikit atas lemang atau makan dengan pulut, memang terus bertambah selera.
10. Nasi impit
Alternatif kepada ketupat. Lebih mudah disediakan, tapi tetap jadi kegemaran ramai bila digandingkan dengan kuah kacang atau rendang.
Baca juga: Biskut lemau jangan terus buang! Ini 5 cara mudah nak rangupkan semula