Bukan mudah untuk bertahan dalam industri seni yang penuh persaingan dan ketidakpastian.
Di sebalik glamor dan sorotan kamera, hakikatnya pendapatan anak seni tidak menentu kerana ia bergantung sepenuhnya kepada tawaran serta ketersediaan projek.
Buat pelakon Ieda Moin, dia sebolehnya mahu serius dalam menceburi bidang perniagaan agar ia boleh menjadi jaminan masa depan.
Kongsinya, meskipun ada yang menawarkannya untuk berlakon namun harga bayaran ditawarkan itu tidak masuk akal lapor Harian Metro.
“Untuk jadual awal tahun ini, mungkin penerbit masih menyusun kalendar dan saya sedang tunggu tawaran berlakon.
“Sebenarnya ada juga yang panggil saya berlakon, namun saya terkedu kerana ditawarkan harga yang tidak masuk akal.
“Bayangkan bayaran yang akan diberikan sangat rendah seolah-olah taraf saya seperti pelakon ekstra,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Ieda menegaskan tawaran yang diterima itu langsung tidak setimpal dengan kadar bayaran biasanya, malah menyifatkan jumlah tersebut bukan harga yang wajar untuknya.
Katanya, dia lebih sanggup untuk tidak menerima sebarang pekerjaan daripada menurunkan bayaran ke tahap terlalu rendah, apatah lagi apabila ditawarkan bayaran harian RM800 untuk menjayakan dua episod.
“Selalunya kita artis dipanggil untuk supporting (watak pembantu), dia akan buat bayaran per episod atau bergantung pada babak.
“Saya tanya, programnya satu jam atau setengah jam? Dia kata satu jam. Tapi ada macam drama dalam program.
“Jadi bila dia kata satu hari kita boleh shoot dua episod untuk cerita setengah jam, takkanlah saya nak ambil,” katanya.
Dalam masa sama Ieda membayangkan akan membuka francais Seoul Garden Korbi Grill berikutan sambutan hebat diterima daripada pelanggan.
Baca juga: Zahiril Adzim masih hidup, terkejut tengok gambar ucapan takziah dengan muka sendiri