Seorang bekas penyelaras pentadbiran masjid berdepan dengan 16 pertuduhan pecah amanah melibatkan wang imbuhan imam berjumlah RM30,250 antara 2019 hingga 2023 di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini.
Tertuduh iaitu Muhamad Azian Mat Isa bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi Hakim selepas 16 pertuduhan tersebut dibacakan.
Difahamkan, pecah amanah yang didakwa dilakukan tertuduh itu adalah melibatkan lebihan bayaran imbuhan imam membabitkan 10 masjid di sekitar daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), lapor Berita Harian.
Ketika kejadian, tertuduh bergelar penjawat awam iaitu Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S29 di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merangkap Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Taiping.
Bapa kepada empat anak yang dikenali sebagai ‘Ustaz Azian’ itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Agama Islam Daerah Taiping antara 4 Mac 2019 sehingga 20 Jun 2023 dengan nilai terkumpul RM30,250.
Semua pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebatan serta denda bagi setiap pertuduhan.
Pertuduhan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suzieyana Azura Yahaya dan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor.
Dalam prosiding tersebut, Suzieyana Azura menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan iaitu RM64,000 untuk semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke Pejabat SPRM setiap dua bulan.
Peguam yang mewakili tertuduh iaitu Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh hanya mampu menyediakan wang maksimum berjumlah RM10,000.
Hal ini kerana tertuduh berusia 38 tahun itu merupakan penanggung nafkah tunggal dalam keluarganya sebagai sebagai penternak kambing dengan meraih pendapatan sekitar RM1,000.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM16,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Taiping pada Jumaat pertama setiap bulan.
Dalam pada itu, pasport antarabangsa milik tertuduh juga perlu ditahan sehingga kes selesai dan mahkamah turut menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Baca juga: Difitnah ada kaitan dengan Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha, Fadhlina buat laporan polis