Seorang pengguna media sosial tampil membuat aduan terbuka berhubung tahap kebersihan sebuah gerai di Bazar Ramadan Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), selepas mendakwa menemui ulat dalam makanan yang dibelinya.
Menerusi hantaran dimuat naik akaun TikTok @ayuumuchann, individu berkenaan memaklumkan dia membeli nasi ayam madu dari gerai terbabit pada 25 Februari 2026.
Pembeli tersebut kemudian menyedari terdapat ulat pada daun salad ketika hendak menjamah hidangan tersebut.
“Kita simpan sini la.. Kepada pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), berkenaan satu gerai di Bazar Ramadan Bandar Tun Hussein Onn (BTHO).
“Pada tarikh 25/2/26, beli nasi ayam madu dari gerai tersebut. Semasa hendak makan, sy mendapati terdapat ulat pada daun salad dalam makanan tersebut (gambar sebagai bukti dilampirkan),” tulisnya di TikTok.
Menurutnya, kejadian itu amat mengecewakan kerana melibatkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual kepada orang ramai sepanjang Ramadan.
Pada keesokan harinya, 26 Februari 2026, dia memaklumkan perkara tersebut kepada peniaga gerai berkenaan.
Namun, dakwanya, peniaga tidak menunjukkan sikap bertanggungjawab.
“Namun, peniaga gerai tidak menunjukkan sikap bertanggungjawab, tidak meminta maaf, dan bercakap dengan tidak sopan serta tidak menghormati pelanggan,” katanya lagi.
Pengadu turut menyenaraikan dua perkara utama yang menimbulkan ketidakpuasan hatinya iaitu tahap kebersihan makanan yang dijual serta sikap dan layanan peniaga terhadap aduan pelanggan.
Dalam masa sama, individu berkenaan memohon agar Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) menjalankan pemeriksaan terhadap gerai berkenaan.
“Sehubungan itu, saya memohon agar pihak MPKJ dapat menjalankan pemeriksaan terhadap gerai tersebut demi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan di Bazar Ramadan sentiasa terjamin,” ujarnya.
Baca juga: Dulu kerja jual burger di Malaysia, balik Indonesia terus buka gerai burger Ramly sendiri