Pasangan pempengaruh sensasi, Siti Jamumall dan suami yang dikenali sebagai Aiman Tak Kisah bercerai buat kali kedua pada awal pagi Khamis walaupun belum genap sebulan mereka kembali rujuk.
Perkara ini berlaku selepas Aiman atau nama sebenarnya, Khairul Aiman Abdul Kudus bertindak melafazkan talak terhadap isterinya ketika wanita itu sedang melakukan satu sesi siaran langsung di platform TikTok.
Kejadian mendebarkan yang disaksikan oleh puluhan ribu penonton itu juga sempat dirakamkan pengguna TikTok sebelum dimuat naik semula sehingga tular di pelbagai platform media sosial.
Difahamkan sebelum pempengaruh berusia 22 tahun itu melafazkan talak, pasangan terbabit sempat bertengkar yang mana perbalahan berkenaan turut disaksikan oleh semua penonton sesi siaran langsung tersebut.
“Siti Suriani binti Wahiddin, aku ceraikan kau dengan talak dua. ‘See you in court’ (jumpa awak di mahkamah),” kata Aiman ketika melafazkan talak terhadap wanita berusia 26 tahun yang sedang sarat mengandung itu.
Selepas talak dilafazkan, pemilik nama sebenar Siti Suriani Wahiddin itu terlihat sedih dan berada di dalam keadaan sebak sebelum ditenangkan oleh dua individu lain yang berada bersamanya.
Konflik di antara mereka tidak terhenti di situ sahaja yang mana Aiman juga sempat mengulang lafaz cerai tersebut sebanyak tiga kali sebelum rakaman siaran langsung itu diberhentikan secara tiba-tiba.
“Jangan menggigil, jangan menggigil,” ujar salah seorang daripada individu yang berada di lokasi kejadian dalam usaha untuk menenangkan Siti yang tidak lagi mampu menahan sebak itu.
Situasi dipercayai mula menjadi panas apabila pasangan itu bergaduh ketika Siti Jamumall yang sedang menjual produknya secara siaran langsung menangis teresak-esak sebelum meminta Aiman untuk keluar daripada bilik.
Siti Jamumall mengakui setiap kata-kata yang keluar dari mulut Aiman sememangnya menyakitkan hatinya malah suaminya juga seolah-olah menganggap kediaman mereka seperti hotel ekoran jarang pulang ke rumah.
Perbalahan itu berterusan apabila Aiman pula mendakwa isterinya yang sering menuduhnya berlaku curang setiap kali keluar rumah selain memberikan bayangan bahawa telefon bimbitnya pecah susulan pergaduhan tersebut.
Lebih mengejutkan, Aiman juga seakan mengakui telah berlakunya keganasan rumah tangga di penghujung sesi siaran langsung sebelum bertindak menceraikan Siti dengan talak dua.
“Awak cakap saya curang. Setiap kali saya keluar malam sahaja, awak tuduh saya curang. Aku nak kena buat apa lagi? Telefon aku sudah pecah. Baiklah. Ya, aku pukul kau, biar mahkamah uruskan. Kau kan sudah hantar aku ke balai polis.
“Aku juga sudah kena. Jadi, sekarang ini (aku nak keluar rumah) untuk mengelakkan berlakunya lagi keganasan rumah tangga. Jika dahulu aku pukul kau, sekarang tak nak berlaku lagi. Aku akan keluar rumah ambil semula maruah yang telah dipijak-pijak.
“Selama ini aku terkongkong, bukan sahaja kena adil dengan kau. Tetapi kena adil dengan abang kau juga. Aku orang kampung, sanggup dipijak. Tetapi sekarang aku tak boleh diam.” Kesal Aiman dalam siaran langsung tersebut sebelum melafazkan talak.
Baca juga: Wanita ragu nak bagi kawan pinjam RM10k, alasan pinjam sebab nak daftar anak ke tadika swasta