Usahawan kontroversi, Datuk Aliff Syukri tampil memberi penjelasan mengenai kenyataannya sebelum ini tentang kesukaran dialaminya untuk mencari wang supaya dapat menanggung komitmen bulanannya yang sangat tinggi.
Aliff menerusi hantaran di platform TikTok menjelaskan bahawa ‘pergelutan’ yang kini dihadapinya bukan bermaksud dirinya mempunyai masalah kewangan sehingga perlu berhutang dengan mana-mana pihak.
Sebaliknya, usahawan berusia 38 tahun itu perlu bergelut dengan peredaran zaman dan teknologi yang mengubah landskap perniagaan di mana Aliff kini perlu lebih berdaya saing termasuklah dengan generasi baharu.
Ahli perniagaan itu memaklumkan bahawa dirinya dahulu boleh bersenang-lenang dalam mempromosikan produk keluarannya hingga memperoleh keuntungan mencecah jutaan ringgit dengan hanya menaja program televisyen.
Situasi masa kini bagaimanapun berubah di mana kaedah sedemikian mungkin tidak lagi menjanjikan keuntungan lumayan lalu mendorong Aliff untuk mengubah haluan dalam mempromosikan produknya secara di atas talian.
“‘Struggle’ (bergelut) itu bukan bermaksud saya ini susah sangat. Tetapi perniagaan saya sudah tak seperti dahulu. Kalau dahulu saya goyang kaki, taja program televisyen sahaja masih boleh dapat jualan berjuta-juta.
“Namun sekarang ini, revolusi sudah berubah. Saya perlu berniaga secara atas talian, menerusi sesi siaran langsung. Jadi maksud bergelut itu, bukanlah saya sampai kena berhutang.
“Maksud bergelut itu adalah untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baharu. Saya kena bersaing dengan ramai orang seperti generasi baharu. Bukan saya terlalu sangkak atau sengkek,” jelas Aliff dalam perkongsian itu.
Penjelasan tersebut dibuat Aliff menerusi satu hantaran video berdurasi satu minit 43 saat yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya untuk mengulas laporan media mengenai ‘pergelutan’ kini dialaminya.
Terdahulu, usahawan itu mengakui perlu berkerja keras untuk mencari wang ekoran harus menampung pelbagai komitmen tetap buat kediaman mewahnya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.
Jumlah perbelanjaan yang perlu diperuntukkan oleh Aliff adalah sekurang-kurangnya RM40,000 setiap bulan yang mana kos itu merangkumi bil elektrik, selenggara kolam renang serta membayar gaji kepada 12 pekerja.
Kakitangan ini juga merangkumi pembantu rumah dan peribadi serta pengawal keselamatan malah Aliff juga perlu menanggung kos penyelenggaraan empat lot banglo yang menjadi tempat tinggal keluarganya.
Baca juga: Aliff Syukri dedah perbelanjaan isi rumah cecah RM60,000 sebulan