Seorang bekas pengurus projek dalam industri minyak dan gas sanggup meninggalkan kerjayanya dengan gaji yang besar demi menceburi bidang keusahawanan makanan.
Mohd Farid Mohd Zaki, 33, yang berasal dari Kuantan, Pahang, mempunyai lebih 13 tahun pengalaman dalam industri minyak dan gas, sebelum memutuskan untuk berhenti makan gaji kerana kekurangan masa bersama keluarga.
Dia mengakui, tiada masa bersama keluarga menjadi faktor utama dia memilih untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan kepada perniagaan sendiri.
Memilih perniagaan popia sebagai haluan baharu sejak Februari lalu, Farid berkata bidang makanan menjanjikan aliran tunai lebih cepat, selain popia menjadi pilihan harian rakyat Malaysia.
“Selepas pandemik, ramai orang mula berniaga. Jadi agak sukar bersaing kerana pelanggan belum mengenali produk kita.
“Malah, ada juga pandangan sinis apabila saya, seorang bekas pengurus projek, bertukar menjadi penjual popia. Tetapi bagi saya, tiada apa yang perlu dimalukan jika kita ikhlas berusaha,” katanya menurut Sinar Harian.
Mohd Farid pada masa sama berkata, dia bercita-cita meluaskan perniagaan popianya ke pasar raya dan membangunkan konsep francais.
Dia turut menegaskan bahawa keputusannya berhenti kerja, walaupun menerima pelbagai tawaran dari syarikat lain, adalah keputusan terbaik demi keluarga dan masa depan.
Baca juga: Sistem MyKasih tergendala, tindakan pelanggan tinggal troli penuh barang dikecam