Tidak ubah seperti orang gaji, begitulah layanan kejam diberikan oleh dua beradik ini kepada ibu mereka yang sudah lanjut usia.
Bayangkan, tubuh uzur ibu yang berusia 65 tahun itu masih dikerah bagi membuat kerja-kerja rumah untuk dua beradik yang sudah bekerjaya itu.
Selain memasak, ibu mereka perlu menggalas tanggungjawab untuk mengemas rumah, mencuci pakaian, menyidai dan melipat baju anak.
Tidak cukup dengan itu, anak-anak yang tidak berperikemanusiaan itu sanggup membiarkan sang ibu menguruskan kucing keluarga mereka.
Ini bermakna, sang ibu yang kelesuan akibat membuat kerja rumah seharian itu harus memberi makan dan membuang najis kucing berkenaan.
Mengejutkan, perkara itu dibongkar oleh adik mereka yang merupakan seorang penuntut universiti awam bernama Iman (bukan nama sebenar).
Iman yang tinggal di asrama itu berkata, abang dan kakaknya mulanya khuatir akan keadaan ibunya ketika duduk berseorangan di rumah.
Memutuskan untuk tinggal bersama di sebuah rumah teres di pinggir ibu kota, mereka berdua malah mengambil kesempatan atas situasi itu.
“Apabila balik dari kerja, mereka terus campak baju di dalam bakul. Nanti bila nak pakai balik, semua dah tersedia basuh, kering dan lipat.
“Bila lapar pula, minta ibu masak itu dan ini. Waktu cuti, sama ada mereka tidur seharian, main telefon atau keluar dengan rakan.
“Kucing pun biar ibu yang uruskan. Mereka hanya bermain suka-suka sahaja dengan kucing itu,” dedah Iman memetik Kosmo!.
Iman yang hanya pulang ke rumah di setiap hujung minggu itu sudah mulai muak dengan sikap lepas tangan kedua adik beradiknya.
Menurut Iman, wang belanja yang diberi setiap bulan tidak memberi hak kepada abang dan kakaknya untuk melayan ibu mereka seperti orang gaji.
“Tidak dinafikan, setiap bulan mereka beri ibu wang. Kadangkala, mereka belikan hadiah. Tapi saya yakin tanggungjawab anak lebih daripada itu.
“Buat apa kalau anak masih tinggal di rumah tapi buat macam orang gaji.” Soal Iman yang tidak dapat menahan perasaan amarahnya.
Diharapkan, semoga perkongsian Iman itu dapat menyentuh hati abang dan kakaknya supaya segera berubah.
Baca juga: 6 lelaki menyamar jadi petugas PBT, pau duit RM200 kononnya nak turap jalan