Beria sokong kempen ‘no bully’ tetapi rancak mengutuk orang di sosial media – Sweet Qismina

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Sweet Qismina meluahkan rasa bimbang apabila masalah buli siber semakin berleluasa di platform media sosial tempatan yang mana segelintir netizen dilihat ‘rancak’ mengecam dan mengutuk orang di alam maya.

Namun ironinya, pada masa yang sama mereka juga dengan lantang menyokong kempen antibuli di atas kematian pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah iaitu Zara Qairina Mahathir.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, pemilik nama sebenar Farhanna Qismina Supandi itu menyifatkan tindakan segelintir netizen ini tidak jauh berbeza dengan perbuatan pembuli di sekolah.

Hal ini juga membuatkan pelakon berusia 28 tahun yang mula mengecapi populariti ketika masih bergelar kanak-kanak menerusi drama bersiri Hikayat Putera Shazlan itu merasa tidak selesa dan muak dengan sikap sedemikian.

“Kamu semua ini sakit ke? Beria sokong kempen ‘no bully’ (antibuli) terhadap arwah Zara Qairina. Tetapi dalam masa yang sama tak habis-habis mengutuk dan membuli orang dekat sosial media. Saya perhati sahaja semua.

“Semakin lama, semakin mengarut. Ya anda, anda semua yang suka gosip dan kutuk orang dekat sosial media. Tak ada beza pun anda dengan pembuli sekolah. Anda adalah pembuli mental,” kesalnya dalam hantaran itu.

Perkongsian tersebut berjaya mengundang perbincangan hangat di platform Threads yang mana rata-rata pengguna bersetuju dengan pandangan Sweet Qismina berhubung masalah buli siber di Malaysia.

Ramai juga pengguna berpendapat segelintir masyarakat di negara ini belum sedar bahawa perkataan menyakitkan juga adalah salah satu bentuk buli yang boleh meninggalkan kesan mendalam kepada seseorang.

“Tepat sekali! Memang sangat ironi. Mereka secara lantang menjerit no bully. Tetapi dalam masa yang sama, menghina orang dengan senang hati di atas talian. Perbuatan itu tidak jadikan anda orang yang lebih baik. Tetapi sama sahaja (dengan pembuli),” kata seorang pengguna.

“Betul, memang ramai dekat Malaysia ini. Apabila ada kes buli, acah-acah sertai solidariti menuntut keadilan. Tetapi bab komen dekat orang bukan main. Ingat dengan pukul sahaja baru jadi buli? Kadang-kadang percakapan dia pun sama, malah lagi teruk. Buli mental orang.” Kesal pengguna lain.

Terdahulu, Zara Qairina dilaporkan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Kematian remaja berusia 13 tahun itu berjaya menarik perhatian ramai kerana dikaitkan dengan buli sehingga mendorong gerakan solidariti berhubung kempen antibuli diadakan untuk menuntut keadilan kes tersebut.

Baca juga: ‘Tiba-tiba dia pegang paha’ – Diana Danielle dedah detik diganggu kru produksi