Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif khas bagi membantu rakyat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Menurut beliau, antara langkah yang diumumkan termasuk pemberian cuti tambahan Hari Raya serta pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2026 bagi memastikan harga barangan keperluan kekal terkawal.
Bagi cuti tambahan, kerajaan menetapkan bahawa cuti akan diberikan pada Jumaat atau Isnin, bergantung kepada tarikh Hari Raya Aidilfitri yang akan diumumkan secara rasmi.
Jika Aidilfitri jatuh pada Jumaat, 20 Mac, kerajaan akan memberikan cuti tambahan pada Isnin, 23 Mac 2026. Namun jika Aidilfitri disambut pada Sabtu, 21 Mac, cuti tambahan akan diberikan pada Jumaat, 20 Mac 2026.
Dalam masa sama, kerajaan turut melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri 2026 yang berkuat kuasa selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac 2026 bagi memastikan harga barangan keperluan utama tidak melambung menjelang musim perayaan.
Melalui skim tersebut, pihak penguat kuasa akan memantau harga barangan di seluruh negara dengan lebih ketat, selain memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan.
Anwar berkata, langkah itu diharapkan dapat meringankan kos sara hidup rakyat, memastikan harga barangan kekal berpatutan serta memudahkan orang ramai merancang perjalanan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.
Beliau turut berharap sambutan Syawal kali ini membawa lebih kebahagiaan, keberkatan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Malaysia.