Malaysia dan Finland meneroka potensi untuk bekerjasama dalam melaksanakan model ekonomi kitaran (circular economy) di negara ini selaras dengan komitmen terhadap agenda kemampanan dan tindakan iklim.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan bahawa perkara tersebut dibincangkan dalam kunjungan hormat Duta Besar Finland ke Malaysia, Anne Vasara.
Johari menerusi perkongsian dimuat naik platform Facebook menjelaskan bahawa pengukuhan kerjasama tersebut dapat memacu pembangunan ekonomi negara yang lebih mampan dan berdaya saing.
Perbincangan itu juga tertumpu kepada peluang untuk membangunkan taman perindustrian eko (eco-industrial parks) di seluruh Malaysia sebagai langkah awal untuk menerapkan amalan ekonomi kitaran.
“Ini termasuk kerjasama dalam aspek pembaharuan dasar dan kawal selia, pembiayaan dan pelaburan, rantaian bekalan mampan, piawaian dan pensijilan, serta pembangunan kapasiti.
“Dengan kira-kira 600 taman perindustrian di seluruh negara, Malaysia mempunyai potensi besar untuk menerapkan amalan ekonomi kitaran, bermula dengan taman-taman halal sebagai langkah awal ke arah pembangunan industri yang lebih lestari dan bernilai tinggi,” katanya dalam hantaran itu.
Sekadar info, Malaysia dan Finland mula menjalinkan hubungan diplomatik sejak tahun 1973 malah sudah menjalinkan kerjasama dua hala termasuk dalam sektor pendidikan serta teknologi dan digital.
Baca juga: Kes ibu hamil didakwa mencuri belum reda, pelanggan lain pula buka cerita