“Kalau aku berhenti, ‘mandi’…” – Shuib dedah pernah berdepan hutang cecah RM15 juta!

Oleh MALAYSIADATELINE

Di sebalik kesibukannya yang tidak pernah berhenti bekerja, pelawak dan usahawan Shuib mendedahkan dia pernah berdepan jumlah hutang cecah RM15 juta selepas mengambil alih sebuah syarikat.

Lebih mengejutkan, Shuib berkata dia hanya menyedari jumlah sebenar tanggungan tersebut selepas mengambil alih syarikat berkenaan.

Namun hampir separuh daripadanya berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira lima tahun.

“Saya pernah ‘reach’ paling tinggi, saya rasa… RM15 juta. RM15 juta ‘in total’, saya pernah hadap.

“‘Almost done’ separuh dalam masa lima tahun.

“Saya pernah berada paling ‘peak’ macam itulah. Bila saya ‘take over company’, saya baru ‘realize’ yang hutang dia itu lebih daripada belasan juta,” katanya ketika berkongsi perkara itu dalam satu podcast.

Pengakuan tersebut sekali gus menjelaskan mengapa Shuib dilihat sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan, termasuk melakukan sesi siaran langsung dan mengusahakan perniagaannya.

Menurut Shuib, dia tidak mempunyai pilihan untuk berhenti kerana masih banyak komitmen yang perlu dibayar dan diselesaikan.

“Kalau nampak, saya tak berhenti buat benda yang saya sedang buat. ‘Live’ lah, buat itulah, buat inilah. Kadang-kadang sampai orang cakap, ‘Kau ini sibuk, ya?’ Memang sibuk!

“Sebab kalau aku berhenti, ‘mandi’ ini. Banyak benda nak kena dibayar, nak kena diselesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib turut menyentuh mengenai urusannya dengan beberapa agensi kerajaan yang menurutnya tetap perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Dia mengakui tidak boleh menyalahkan atau marah kepada pihak terbabit kerana mereka hanya menjalankan tugas dan tuntutan yang ditetapkan.

“Agensi-agensi kerajaan akan tetap buat kerja mereka. Sebab itu kerja mereka. Saya pun tak boleh marah mereka.

“Saya tak boleh ‘argue’ pun sebab memang itulah kerja mereka. Itulah tuntutan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Shuib percaya sebarang perkara masih boleh dibawa ke meja perbincangan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk semua pihak.

“Cuma kita mungkin boleh duduk berbincang. Kita pernah berkhidmat untuk mereka. Kita pernah menyalurkan juga sumbangan kepada agensi-agensi kerajaan.

“Kalau kita tak ada bisnes, mana datang ‘tax’ (cukai)? Ekonomi kita macam mana nak ada?

“Jadi, saya duduk dengan mereka, berbincang tengok apa yang terbaik, apa yang boleh kita buat. Tapi saya tak pernah berhenti,” katanya.

Biarpun berdepan tanggungan besar, Shuib berkata dia memilih untuk terus bekerja selagi masih diberikan tenaga dan rezeki.

“Sebab saya tahu selagi saya hidup ini, kalau Allah bagi tenaga lagi, Allah masih bagi rezeki, maksudnya ada lagi yang saya perlu jalankan,” katanya.

Baca juga: Lelaki 19 tahun wariskan harta lebih RM12 juta kepada kawan baik