Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengakui pencapaian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menstabilkan ekonomi negara dan memulihkan imej Malaysia di mata pelabur.
Mana tidaknya di bawah pentadbiran Anwar yang juga Menteri Kewangan itu, ekonomi Malaysia kini berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku pertama sekali gus mengatasi Thailand dan Singapura.
Pencapaian ini juga dapat dilihat menerusi nilai Ringgit Malaysia yang semakin mengukuh sehingga dinobatkan sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia berbanding dolar AS selama dua tahun berturut-turut.
Walau bagaimanapun di sebalik pencapaian tersebut, Khairy yang juga Menteri Kesihatan itu tidak menafikan bahawa rakyat biasa di negara ini mungkin belum dapat menikmati manfaatnya.
Perkara itu didedahkan oleh Khairy yang lebih mesra dikenali sebagai KJ dalam sesi temu bual bersama media popular antarabangsa iaitu Bloomberg baru-baru ini mengenai perubahan landskap politik di Malaysia.
Menurut Khairy, pengundi muda pada masa kini mendambakan wakil rakyat yang lebih memahami kebimbangan masyarakat terutamanya dari segi kos sara hidup, identiti, pekerjaan dan mobiliti ekonomi.
“Rakyat tidak dapat rasakan peningkatan angka makroekonomi, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar pengangguran lebih rendah atau ringgit lebih kukuh,” katanya memetik laporan Bloomberg.
Khairy menjelaskan bahawa sentimen seperti itu dapat difahaminya selepas tiga tahun berada dalam ‘arena rakyat’ ketika menjadi penyampai radio atau melalui program audio siar (podcast) kendaliannya.
Arena rakyat dimaksudkan Khairy adalah program podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikan bersama bekas pemimpin Umno, Shahril Hamdan serta tugas sebagai penyampai radio di Hot FM.
Menerusi sesi temu bual tersebut, Khairy turut mengulas ‘kepulangannya’ ke parti Umno selepas dipecat pada Januari 2023 susulan tindakan disiplin yang dikaitkan dengan isu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu memaklumkan bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menerima semula kepulangannya ke parti tersebut dengan seadanya.
Bloomberg melaporkan bahawa Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berharap Khairy dapat menarik semula pengundi muda Melayu yang sebelum ini meninggalkan Umno susulan skandal 1MDB.
Baca juga: Pernah dipenjara lebih sedekad, ini yang Anwar Ibrahim nampak di sebalik tirai besi