Biarkan pasangan tanggung bil restoran lebih RM45k, lelaki akhirnya ditahan

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang lelaki di Hong Kong ditahan selepas meninggalkan teman wanitanya untuk membayar bil makan malam mewah berjumlah HK$84,453.60 (kira-kira RM45,729).

Menurut portal berita The Standard, lelaki berusia 23 tahun itu yang hanya dikenali dengan nama keluarga Wong, ditahan pada 29 Ogos.

Insiden berlaku di restoran Man Wah, sebuah restoran Cina bertaraf Michelin di Hotel Mandarin Oriental pada 28 Ogos lalu.

Menurut Mothership, laporan HK01 menyebut Wong, yang mendakwa dirinya seorang peguam, telah ke tandas selepas selesai menjamu selera namun tidak kembali.

Teman wanitanya yang berusia 31 tahun tidak dapat menemuinya apatah lagi menghubunginya.

Resit restoran menunjukkan pasangan itu memesan dua set hidangan premium berharga HK$2,388 (kira-kira RM1,293) seorang, termasuk sajian mewah seperti daging wagyu, sarang burung dan abalon.

Mereka turut memesan dua hidangan teh Pu’er berusia 10 tahun serta sebotol champagne 2002 Krug Clos d’Ambonnay bernilai HK$71,800 (sekitar RM38,877).

Dengan caj perkhidmatan 10 peratus, jumlah keseluruhan bil mencecah HK$84,453.60 (kira-kira RM45,729).

Wanita berkenaan yang tidak mampu menanggung bil berkenaan terpaksa menghubungi rakannya untuk membantu membayar sebelum membuat laporan polis sekitar jam 10 malam.

Kes itu pada mulanya diklasifikasikan polis sebagai ‘penipuan’, namun ditukar kepada ‘permintaan bantuan polis’ selepas wanita terbabit menukar keterangannya dan hanya meminta rekod.

Menurut The Standard, insiden itu dipercayai dirancang apabila Wong menempah meja dan terlebih dahulu bertanya tentang ketersediaan champagne Perancis premium.

Seorang sumber industri makanan dan minuman berpendapat, berdasarkan tingkah lakunya, Wong seolah-olah memang berniat memperdayakan mangsa sejak awal lagi.

Pada mulanya wanita itu enggan bantuan lanjut polis, namun dia membuat laporan tambahan keesokan hari dan polis memulakan siasatan penuh.

Susulan itu, Wong ditahan pada 29 Ogos di Tseung Kwan O atas tuduhan mendapatkan harta melalui penipuan.

Baca juga: Terima mas kahwin 88 gram emas, video nikah pasangan ini buat netizen terbeliak biji mata!