Bos hantar mesej ‘kahwini saya’, pekerja pelatih menang saman lebih RM2.1 juta

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pengurus syarikat pembekal elektrik diarahkan untuk membayar pampasan sebanyak RM2.1 juta kepada bekas pekerja pelatih wanita.

Arahan tersebut dikeluarkan setelah Mahkamah Buruh mendapati lelaki itu bersalah melakukan perbuatan gangguan seksual terhadap pekerja syarikatnya.

Difahamkan, lelaki yang berusia 50-an itu telah bertindak menghantar puluhan mesej dan emel yang tidak senonoh kepada pelatih wanita tersebut.

Tidak hanya menghantar pesanan agar pekerja pelatih itu mengahwininya, lelaki durjana itu juga meminta wanita tersebut untuk menanggalkan baju di hadapannya.

Muak dengan gangguan seksual tersebut, pekerja pelatih yang bernama Emma Tahir itu mulanya membuat laporan kepada pihak atasan di syarikatnya.

Namun setelah satu siasatan dalaman dilakukan, pengurus tersebut malangnya masih dapat mengekalkan jawatannya di syarikat tersebut.

Oleh yang demikian, Emma memutuskan untuk meletak jawatan dan menyaman pengurus itu atas gangguan seksual dan penganiayaan pada tahun 2021.

Memetik laporan Daily Mail, Emma berjaya memenangi kes tersebut dan dijangka menerima pampasan sebanyak £357,000 (pound sterling) atau RM2,115,042.52.

Hakim Joanna Wade memaklumkan bahawa pampasan kepada pelatih wanita itu termasuk £40,000 untuk gangguan perasaan dan £10,000 untuk gangguan psikiatri.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di England melibatkan pekerja National Grid iaitu syarikat pembekal elektrik yang bertapak di London.

Menurut laporan sama, pengurus yang terlibat di dalam kes gangguan seksual itu dikatakan sudah tidak bertugas lagi di syarikat berkenaan.

Jurucakap National Grid juga mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan berjanji agar perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi.

“Kami akan memberi latihan komprehensif kepada pekerja untuk melaporkan masalah yang membuatkan mereka merasa tidak selesa atau tidak selamat.

“Keutamaan kami sekarang adalah untuk mengambil pengajaran daripada kes ini untuk memastikan ia tidak akan berulang lagi.” Kata jurucakap itu.

Baca juga: “Dulu tangga sekarang stokin bola” – Netizen malas nak ambil pusing hal Aliff Syukri, pilih boikot bisnes