Seorang kanak-kanak lelaki yang baru berusia dua tahun disyaki menjadi mangsa dera selepas dihantar pulang ke rumah oleh pengasuh dalam keadaan penuh kecederaan di wajahnya.
Difahamkan, kejadian berlaku pada Khamis lalu di mana kanak-kanak terbabit dihantar ke rumah pengasuh oleh bapanya sekitar jam 10 pagi kerana ibunya mengalami migrain teruk.
Pengasuh terbabit kemudian meminta kebenaran untuk membawa kanak-kanak itu keluar sebelum menghantar mangsa pulang ke rumah pada waktu malam selepas berulang kali dihubungi oleh ibu bapanya.
Namun alangkah terkejutnya ibu bapa mangsa apabila mendapati wajah anak mereka dipenuhi dengan kesan birat atau lebam termasuklah di bahagian mata ketika dihantar oleh pengasuh.
Kejadian itu didedahkan oleh ibu saudara mangsa yang dikenali sebagai Zehra menerusi satu perkongsian dimuat naik di platform Threads bersama gambar kecederaan dialami kanak-kanak bernama Ean Zafran terbabit.
“Ibu Ean dijangkiti oleh Covid. Tak sihat dan mengalami migrain yang teruk. Pada Khamis lalu, bapa Ean hantar ke rumah pengasuh pada jam 10 pagi. Sudah siap mandi dan makan. Pada pukul 4 petang, bapanya nak ambil.
“Tetapi pengasuh cakap sudah bawa Ean keluar ke rumah saudara. Dia sudah meminta izin terlebih dahulu sebelum bawa keluar. Namun dari petang sampai ke malam, ibu bapa Ean tidak berhenti menghubungi pengasuh.
“Katanya belum balik dari rumah saudara. Mereka masih bersabar dan bersangka baik, cuba elak tindakan melulu. Pada hampir jam 10 malam, barulah suami dan pengasuh pulangkan Ean ke rumah. Doakan ya,” kongsinya.
Difahamkan, laporan polis sudah dibuat pada hari yang sama kejadian di Shah Alam itu berlaku manakala kanak-kanak terbabit dihantar ke hospital dan masih menerima rawatan sehingga ke hari ini.
Menurut Zehra, anak saudaranya mengalami trauma yang teruk akibat kejadian itu selain enggan didukung oleh ahli keluarga serta sering mengadu sakit sambil menyentuh pipinya.
“Hari kelima Ean dirawat di wad. Dia masih mengalami trauma yang teruk dan kerap mengigau. Dia tak nak kami dukung dan cakap, ‘No,no,no’. Ean belum petah berbicara tetapi perkataan dia sebut-sebut sekarang adalah ‘akit’.
“Iaitu sakit sambil gosok pipi dia. Ean mungkin kena pukul pada jam 12.30 tengah hari. Dia disorokkan selama 10 jam tanpa dirawat. Katanya suami pengasuh tampar. Tetapi doktor kata bukan, sebab kesan birat di mata masih berbekas,” kongsinya.
Zehra ketika berkongsi perkembangan kes memberitahu bahawa pengasuh itu dan suaminya sudah berada dalam tahanan polis manakala keluarga Ean pula telah melantik peguam untuk membawa pelaku ke muka pengadilan.
Baca juga: ‘Ini yang korang nak kan?’ – Fakha kesal hilang kerja, rezeki lepas kantoi kes curang