Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berlari masuk ke dalam lif sambil meraung kesakitan akibat dipukul dengan tukul dalam kejadian berlaku di sebuah flat di Johor Bahru.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 19 saat itu, kelihatan sekumpulan kanak-kanak bermain di bahagian bawah flat sebelum mangsa yang sudah berlumuran darah di kepala meluru ke arah lif.
Kejadian itu didedahkan seorang wanita dikenali sebagai Queen dipercayai nenek kepada kanak-kanak berusia 12 tahun terbabit menerusi perkongsian di media sosial mengatakan cucunya menjadi mangsa keganasan serius.
Wanita itu mendakwa cucunya dipukul dengan tukul oleh individu tidak dikenali sehingga kepala mangsa koyak dan berdarah selepas dikatakan menolak pemberian wang yang dipercayai dijadikan sebagai umpan.
Selepas kejadian, cucunya kini menunjukkan perubahan sikap dan ketakutan yang melampau malah Queen juga khuatir sekiranya berlaku lagi cubaan untuk melakukan perbuatan lebih buruk terhadap mangsa.
Pendedahan yang dibuat oleh wanita berkenaan berjaya menarik perhatian masyarakat yang menyokong usaha nenek itu menuntut keadilan buat cucunya dan berharap agar pelaku segera dibawa ke muka pengadilan.
Dalam perkembangan terbaharu, pihak polis memaklumkan bahawa seorang lelaki berusia 39 tahun dipercayai pelaku yang mencederakan mangsa sudah ditahan pada hari laporan mengenai kejadian itu dibuat.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, pihaknya telah menerima laporan orang awam berhubung kejadian itu pada Sabtu lalu sekitar jam 5.29 petang, lapor Berita Harian.
“Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) menerima laporan daripada orang awam yang mendakwa bahawa anak perempuannya telah diserang oleh seorang lelaki menggunakan senjata iaitu sebatang tukul besi di kawasan Flat Ungku Tun Aminah.
“Bertindak atas maklumat, pada hari yang sama kira-kira jam 7.25 petang, sepasukan polis daripada Balai Polis Tun Aminah, Ibu Pejabat Polis Daerah JBU telah berjaya menahan suspek iaitu seorang lelaki warga tempatan di kediamannya di sekitar kawasan Johor Bahru.
“Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil. Mangsa mengalami kecederaan parah membabitkan koyakan kulit di bahagian kepala serta bengkak pada tangan kanan akibat serangan berkenaan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Hasil semakan mendapati suspek memiliki pelbagai rekod kesalahan lampau jenayah termasuk dadah dan pemeriksaan ujian air kencing ke atasnya mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis Methamphetamine.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Johor Bahru dan dibenarkan reman selama tujuh hari bermula Ahad lalu hingga 2 Ogos 2025. Orang awam diminta tidak melanggar undang-undang, bertindak rasional dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
“Sesiapa yang dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan apa-apa alat, hendaklah dihukum dengan penjara maksimum sepuluh tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.” Jelasnya.
Baca juga: Kalah pada rupa, menang pada nikmat! Durian isi lebam masih jadi buruan