Budaya curi parcel, pelanggan persoal integriti runner

Oleh MAISARAH AISYA

Isu kecurian barang dalam kalangan penghantar kurier semakin menjadi perhatian apabila terdapat dakwaan ia sudah dianggap sebagai ‘budaya normal’ oleh segelintir pekerja.

Tindakan tidak bertanggungjawab ini menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna kerana mereka bukan sahaja mengalami kerugian, malah berdepan proses tuntutan yang rumit dan memakan masa.

Situasi itu menyebabkan ramai pelanggan memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu menanggung tekanan tambahan.

Tular di media sosial apabila seorang pengguna Facebook, Nadali Gems mendakwa wujud budaya mencuri bungkusan (parcel) dalam kalangan runner syarikat penghantaran.

“Benda ni bukan isu baru, tapi dah jadi budaya dalam kalangan runner syarikat penghantaran sendiri.

“Aku sendiri dengar daripada orang dalam, mereka kata aktiviti curi parcel ni dah dianggap normal,” kongsinya di Facebook.

Menurutnya lagi, kelewatan dan kesulitan dalam membuat tuntutan ganti rugi menyebabkan pelanggan sering terpaksa akur.

“Sebab mereka tahu proses nak buat tuntutan tu leceh, makan masa, dan menyusahkan kita sebagai penjual atau pelanggan.

“Akhirnya kita yang penat, jadi bola pingpong, ke sana ke sini, dan kebanyakan orang akan malas nak fight,” ujarnya.

Lelaki tersebut mendakwa dia sudah mengalami pengalaman dan menegaskan tidak lagi akan membiarkan perkara itu berlaku tanpa tindakan.

“Inilah mentaliti yang buat mereka rasa selamat untuk terus ambil kesempatan. Aku sendiri dah lalui ni, tapi kali ni aku takkan biar runner tu terlepas macam tu je.

“Sebab ini bukan sekadar pasal barang aku seorang, ini pasal hak semua pengguna yang guna khidmat mereka.

“Kalau kita diam, budaya mencuri ni akan terus jadi normal. Ini pengkhianatan terhadap amanah pelanggan.

“Jadi aku harap lebih ramai yang sedar dan jangan biar isu ni senyap,” tegasnya.

Baca juga: Ibu terkejut anak perempuan dapat mesej tak senonoh, mohon pemain ‘game’ jaga adab